SHAH ALAM: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 159 mangsa daripada 39 keluarga di Selangor susulan kediaman mereka dilanda banjir hari ini.
Menurut Pusat Operasi Smart Selangor (SSOC), seramai 21 mangsa ditempatkan di PPS Balai MPKK Bukit Kapar, manakala PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai, Meru menempatkan 138 mangsa.
“SSOC akan terus memantau dan membuat tindakan susulan tentang kejadian yang berlaku dan menyampaikan maklumat terkini dari semasa ke semasa,” katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, EXCO Pengurusan Bencana Najwan Halimi berkata hujan lebat sejak petang semalam menyebabkan beberapa kawasan rendah di sekitar Klang dinaiki air.
“Hujan sangat lebat dalam tempoh singkat di hulu kawasan bukit sehingga menyebabkan sistem saliran dalaman yang tidak sempurna tidak dapat menampung kapasiti air larian yang tinggi.
“Selain itu, saliran dalaman di kawasan Jalan Kempas juga tidak dapat menampung kapasiti larian air hujan dari kawasan tinggi di Bukit Cerakah dan Bukit Kapar,” katanya.

Dalam pada itu, wakil rakyat Meru Mariam Abdul Rashid menerusi Facebook memaklumkan telah mengaktifkan bilik gerakan bencana alam menerusi talian 019-491 9101.

The post Selangor buka dua PPS tempatkan 159 individu terjejas banjir di Klang appeared first on Selangorkini.



