Selangor cadang Dana Penjagaan Mampan biayai perkhidmatan penjagaan

LocalBusiness & Finance
17 Oct 2026 • 4:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Selangor cadang Dana Penjagaan Mampan biayai perkhidmatan penjagaan

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Kerajaan Selangor mencadangkan penubuhan Dana Penjagaan Mampan (Sustainable Care Fund) bagi memastikan pembiayaan jangka panjang perkhidmatan penjagaan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada geran kerajaan negeri.

EXCO Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, dana itu dapat membantu pengusaha pusat jagaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menampung kos operasi, selain menggalakkan pelaburan dalam sektor penjagaan.

“Visi saya adalah untuk kita akhirnya mempunyai dana yang mampan. Kita tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada geran kerajaan negeri sedangkan terdapat banyak sumber pembiayaan lain yang boleh dimanfaatkan,” katanya ketika sesi dialog Rangkaian Penjagaan Selangor (Selangor Care Network/SCN) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Tambahnya lagi, peraturan lebih kukuh diperlukan bagi melindungi penerima perkhidmatan penjagaan, selain menegaskan terdapat kelompangan dalam undang-undang sedia ada yang mengawal selia perkhidmatan berkenaan.

“Terdapat kelompangan dalam perundangan berkaitan perkhidmatan penjagaan. Kita perlu mempertimbangkan cara untuk menggubal enakmen berkaitan penjagaan dan perkhidmatan penjagaan.”

Image from: Selangor cadang Dana Penjagaan Mampan biayai perkhidmatan penjagaan
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berucap dalam program Hot Seat Session di Selangor International Care Expo 2026 sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 16 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Anfaal mengakui penubuhan dana itu serta penggubalan undang-undang khusus memerlukan masa, namun menegaskan usaha berkenaan perlu dimulakan segera.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri turut berusaha meningkatkan penglibatan sektor swasta menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), penajaan serta sumbangan berasaskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Beliau turut memaklumkan cadangan peruntukan RM400,000 bagi membantu isi rumah rentan mendapatkan peralatan seperti pemegang tangan, tanjakan dan alas anti gelincir untuk meningkatkan keselamatan warga emas serta individu yang mempunyai masalah pergerakan.

Selain aspek pembiayaan, Selangor juga berusaha mempermudah prosedur pendaftaran dan menangani halangan kawal selia yang dihadapi pengusaha pusat jagaan.

Anfaal berkata, satu pasukan petugas khas terdiri daripada jabatan perancangan daripada 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, pihak berkuasa kesihatan serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ditubuhkan bagi menyelaraskan proses berkenaan menerusi cadangan pelaksanaan pusat sehenti.

“Kita sedang beralih daripada pendekatan menghukum kepada usaha mendekati dan membantu. Kita mahu mempermudah keseluruhan proses serta membantu pengusaha memenuhi keperluan yang ditetapkan.”

Beliau berkata, kerajaan negeri turut merancang memperkenalkan program pemerkasaan pusat jagaan bagi meningkatkan standard operasi dan kualiti perkhidmatan, bukan sekadar membantu pusat jagaan tidak berdaftar mendapatkan pengiktirafan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved