SHAH ALAM, 5 SEPT: Selangor mencatat kunjungan seramai 3.6 juta pelancong setakat Jun sekali gus diyakini melepasi sasaran tujuh juta tahun ini.
EXCO Pelancongan Ng Suee Lim berkata jumlah itu membabitkan 70 peratus pelancong domestik dengan tarikan utama di Anjung Utara dan Anjung Selatan.
“Setiap kali orang tanya apa produk kita, saya akan cakap kita ada pakej pelancongan Anjung Utara merangkumi Sabak Bernam ke Kuala Selangor. Anjung Selatan pula meliputi Sepang dan Kuala Langat.
“Selangor ada banyak tapak warisan. Selangor juga ada banyak destinasi ekopelancongan dan semulajadi. Selangor ada semuanya, seperti mini Malaysia.

“Ketika ini Selangor banyak menerima kunjungan pelancong domestik. Pada masa sama kita lipat gandakan usaha untuk tarik lebih ramai pelancong antarabangsa,” katanya kepada Selangorkini.
Mengulas mengenai kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025), Suee Lim berkata promosi tersebut bakal dilancar menerusi iklan kabin di 15 pesawat Air Asia, bulan depan.
Menurutnya kempen pengiklanan dengan peruntukan RM2.6 juta selama dua tahun itu dijangka menarik lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa ke Selangor.
“Sempena TMS2025, kita jangka kehadiran lapan juta pelancong tetapi kalau dapat lebih 10 juta pelancong, itu menjadi satu pencapaian luar biasa untuk kita,” katanya.
Tourism Selangor sebelum ini menjangkakan TMS2025 berupaya menarik lapan juta pelancong domestik dan antarabangsa dengan sasaran kutipan resit RM11.7 bilion.
Katanya, TMS2025 disasar menawarkan lebih 60 program dan acara dengan promosinya memberi penekanan khusus kepada beberapa segmen termasuk pelancongan eko, agro, seni dan budaya.

The post Selangor catat 3.6 juta pelancong takat Jun, yakin lepasi sasaran tujuh juta appeared first on Selangorkini.


