SHAH ALAM, 1 JAN: Selangor mencatat hasil akhir pendapatan 2024 berjumlah RM2.858 bilion, tertinggi dalam sejarah negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari memberitahu jumlah itu juga melepasi pencapaian terbaik kutipan Selangor pada 2017 iaitu RM2.811 billion.

“Semalam kala berehat di jam-jam terakhir 2024, saya dimaklumkan hasil akhir pendapatan negeri 2024 RM2.858 bilion (129 peratus) dari sasaran,” katanya di laman X.
Menurut Amirudin, perlaksanaan perbelanjaan sepanjang 2024 pula, Selangor mencatat prestasi perbelanjaan pengurusan 98.07 peratus dan perbelanjaan pembangunan 97.18 peratus.
“Sudah pasti kejayaan ini disumbang hasil kerjasama erat Kerajaan Negeri-sektor swasta-rakyat, dipandu dengan polisi-polisi dinamik Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Alhamdulillah syukur pada Ilahi dengan rahmat-Nya, segala puji buat Rasulullah pembawa rahmat sekalian alam,” katanya.

Amirudin turut menitipkan ucapan selamat tahun baharu 2025 kepada seluruh rakyat dan berharap setiap pengalaman yang dikutip tahun lalu menambah baik kualiti hidup di hari mendatang.
Selangor memperoleh kutipan hasil RM2.7 bilion pada 2023, RM2.5 bilion (2022) dan RM2.3 bilion pada 2021.
Amirudin sebelum ini berkata beliau percaya prestasi cemerlang pendapatan Selangor itu hasil perkembangan positif ekonomi dan kemasukan pelaburan yang agresif.
Kejayaan itu menurutnya lagi, turut disumbang faktor pembukaan kawasan baharu, pembangunan, perkilangan, pusat data dan pusat kecemerlangan yang rancak berkembang di Selangor.

The post Selangor catat hasil akhir pendapatan 2024 RM2.858 bilion, tertinggi dalam sejarah appeared first on Selangorkini.



