Selangor catat pelaburan RM33.5 bilion suku pertama tahun ini

LocalBusiness & Finance
11 Jun 2026 • 9:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Selangor catat pelaburan RM33.5 bilion suku pertama tahun ini

SINGAPURA, 11 JUN: Selangor mencatat nilai pelaburan tertinggi yang diluluskan sepanjang suku pertama tahun ini iaitu RM33.5 bilion.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kejayaan memberangsangkan tersebut bersamaan hampir 40 peratus dari keseluruhan RM83 bilion nilai pelaburan pada tahun lalu.

“Untuk suku pertama tahun ini sahaja, kita capai lebih RM33 bilion tetapi nilai pelaburan tidak boleh diukur begitu. Ada prosesnya, ada kelulusan-kelulusan tertentu.

“Saya harap momentum ini dapat dikekalkan dan kita perlu pantau supaya Selangor kekal sebagai tempat pelaburan terbaik. Dalam masa sama menawarkan peluang pekerjaan yang banyak.

“Sebagaimana tahun lepas, walaupun kita berada di belakang Johor, namun jumlah peluang pekerjaan kita paling tinggi, ada 63,000 peluang kerja pada 2025,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyertai mesyuarat meja bulat pelaburan Siri Perhubungan: Membuka Peluang Strategik di Selangor anjuran bersama Invest Selangor dan OCBC Singapura pada 9 Jun.

Selangor mencatat nilai pelaburan diluluskan tertinggi, diikuti Johor (RM16.9 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM16.9 bilion), Pulau Pinang (RM6.2 bilion) dan Sarawak (RM4.0 bilion).

Mengikut data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada 8 Jun, kejayaan berkenaan didorong penyepaduan infrastruktur matang kawasan Cyberjaya.

Amirudin juga yakin Selangor mampu mencapai sasaran RM60 bilion nilai pelaburan berdasarkan prestasi ekonomi semasa meski berdepan krisis global dalam enam bulan pertama tahun ini.

“Jumlah pelaburan sangat baik dan ini menunjukkan konsistensi usaha berterusan Kementerian Perdagangan dan Industri selain pentadbiran negeri berjaya menarik pelabur datang,” katanya.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, Selangor mengekal kedudukannya sebagai negeri peneraju ekonomi untuk 2024 apabila mencatat Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi iaitu RM432.1 bilion.

Pencapaian itu menyumbang 26.2 peratus keseluruhan KDNK, sekali gus mengukuhkan peranan Selangor sebagai hab utama sektor perindustrian dan perkhidmatan. Negeri ini turut mencatat kadar pertumbuhan ekonomi 6.3 peratus, mengatasi purata nasional.

NILAI PELABURAN TERTINGGI SUKU TAHUN PERTAMA 2026

  • Selangor: RM33.5 bilion

  • Johor: RM16.9 bilion

  • Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: RM16.9 bilion

  • Pulau Pinang: RM6.2 bilion

  • Sarawak: RM4.0 bilion

  • Newswav Malaysia Best News App

    Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

    Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved