
SHAH ALAM, 23 APRIL: Selangor diberi pengiktirafan sebagai Negeri Tamu kali kelima pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), bulan depan.
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad berkata Selangor menjadi satu-satunya Negeri Tamu, selain beberapa kementerian lain yang turut dijemput sama.
“Kita mula jadi Negeri Tamu pada 2019. Atas sikap Dato’ Menteri Besar sendiri yang suka pada ilmu. Walaupun kita tidak ada banyak buku tapi kita ada banyak perkhidmatan dari pelbagai agensi.

“Di Pavilion Selangor, setiap hari kita akan ada agensi baharu di sana. Sebagai contoh untuk bantuan pinjaman perniagaan daripada Yayasan Hijrah dan sebagainya,” katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui pada Karnival Jom Baca Bersama 10 Minit peringkat negeri sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia di Pustaka Raja Tun Uda di sini, hari ini.
Seramai 1.9 juta pengunjung dijangka memeriahkan PBAKL 2025 yang berlangsung di WTCKL bermula 23 Mei hingga 1 Jun depan.
PBAKL 2025 menyaksikan penyertaan lebih 280 pempamer dan 1,000 reruai, termasuk penyertaan dari luar negara menerusi Asean Rights Fair (ARF).
Menariknya, PBAKL tahun ini mengekalkan konsep hybrid, di mana pengunjung boleh membeli buku secara fizikal mahupun dalam talian menerusi platform seperti TikTok dan Shopee.

The post Selangor dipilih Negeri Tamu kali kelima di pesta buku Kuala Lumpur 2025 appeared first on Selangorkini.
