HULU LANGAT, 1 OKT: Kerajaan Selangor disyorkan menyediakan sejumlah dana bagi mempromosi makanan warisan setempat kepada pelancong dari dalam dan luar negara.
Pakar Makanan Warisan Malaysia Prof Dr Muhammad Shahrim Karim berkata peruntukan itu bagi melatih anak tempatan di sembilan daerah untuk mahir menyedia juadah tradisional.

“Jadi setiap daerah ada makanan warisan setempat yang kita boleh diketengahkan. Jangan semua buat benda yang sama, contoh kalau nasi ambeng. Kalau semua buat, siapa nak pergi (beli).
“Jadi kita ada sembilan daerah, maka kita ada sembilan makanan warisan. Kita keluarkan (buat promosi),” katanya selepas membentangkan kertas kerja di Seminar Gastronomi Melayu Kebangsaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada semalam.
Berdasarkan pengalaman, penyelidik makanan pelancongan itu memberi contoh daerah Sabak Bernam yang menghasilkan produk seperti bahulu berinti jem nanas, pelbagai jenis kerepek serta makanan eksotik seperti rusa dan landak yang boleh menarik ramai pelancong.
“Itu boleh jadi produk tarikan pelancong,” kata beliau kepada Selangorkini selepas membentangkan kertas kerja bertajuk Merentasi waktu: Kelestarian Dodol Melalui Tradisi dan Budaya.
Justeru, gastronomis Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menyarankan agar pihak berkuasa tempatan turut membantu mempromosi makanan melalui siri jelajah makanan di samping berusaha menaik taraf imej peniaga dan premis perniagaan mereka.

Pada masa yang sama, beliau yang juga konsultan makanan dan minuman menasihatkan agar makanan tersebut direkod dan diceritakan ke dalam masyarakat supaya orang ramai dan pelancong dapat mengetahuinya.
“Adakah promosi melalui jelajah makanan. Secara tidak langsung ia meningkat ekonomi penduduk setempat. Orang kampung ada gerai buruk tapi makanan mereka sedap.
“Jadi kita kena tingkat imej mereka dari sudut cara penyediaan, cara berpakaian. Jangan berada ditakuk lama. Tak menarik pelancong. Kalau tempat itu menarik tentu mereka akan pergi,” katanya.

Di samping itu, Dr Muhammad Shahrim juga menyarankan agar pengusaha inap desa seluruh negeri tidak hanya menyediakan khidmat bermalam semata-mata kepada pelanggan.
Sebaliknya, beliau mencadangkan agar penambahbaikan perkhidmatan dibuat melalui menyediakan aktiviti kebudayaan setempat atau kelas penyediaan masakan warisan berasaskan produk dari negeri ini.
“Kalau untuk (perkhidmatan) tidur semata-mata berapa banyak boleh dapat (pendapatan),” katanya.
The post Selangor disyor sedia dana promosi makanan warisan di setiap daerah appeared first on Selangorkini.

