Selangor Fatwakan GISBH Menyeleweng Daripada Ajaran Islam Sebenar

LocalPolitics
18 Oct 2024 • 5:53 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Selangor mewartakan fahaman, ajaran atau amalan ahli GISB Holdings (GISBH) dan rangkaiannya menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah di Shah Alam, Selangor, pada Rabu lalu.

Menurut Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), fatwa itu diperkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan disiarkan dalam warta Kerajaan Negeri pada 16 Oktober.

image is not available

Foto: Sinar Harian

Menurut laporan Bernama, berdasarkan fatwa yang telah diwartakan itu, mana-mana orang Islam di Selangor dilarang dan dibatalkan untuk beramal, berpegang, menjadi pengikut, mengajar, menyebarkan, mengembangkan dan menyokong fahaman, ajaran, pegangan atau amalan GISBH dan rangkaiannya.

Larangan itu termasuk apa-apa fahaman, ajaran, pegangan atau amalan lain yang mempunyai persamaan dengan amalan GISBH yang telah diharamkan itu.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata selaras dengan pewartaan fatwa tersebut, masyarakat di negeri itu dinasihatkan supaya menghormati dan tidak melakukan tindakan yang bercanggah dengan fatwa yang diwartakan.

“Mana-mana individu yang bertindak mengingkari, melanggar atau mempertikaikan fatwa yang telah diwartakan adalah melakukan kesalahan di bawah perenggan 12 (c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” katanya dalam satu kenyataan.

image is not available

Foto: Selangorkini

Berhubung pemulihan akidah terhadap mereka yang mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan, Abdul Aziz berkata MAIS bersama agensi kerajaan negeri termasuk agensi hal ehwal Islam Selangor merangka dan menggerakkan pelan tindakan pemulihan kepada pengikut GISBH termasuk kanak-kanak dan orang dewasa.

Beliau berkata proses pemulihan akan dilaksanakan meliputi perlindungan, bimbingan, pemulihan akidah termasuk melalui proses istitabah (bertaubat) dan kaunseling.

“Pemulihan yang dilaksana merangkumi perlindungan, bimbingan, pemulihan akidah termasuk melalui proses istitabah dan kaunseling,” jelasnya lagi.

Abdul Aziz berkata MAIS juga menyatakan sokongan yang padu terhadap program rehabilitasi secara sukarela yang ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada pengikut atau ahli GISBH dan rangkaiannya baru-baru ini.

Program berkenaan, katanya selaras dengan fatwa yang diwartakan dan dalam hal itu, pengikut atau ahli GISBH dan rangkaiannya dialu-alukan untuk hadir secara sukarela bagi tujuan pemulihan tersebut.

Beliau turut menyatakan komitmen MAIS dan agensi Islam di Selangor untuk bekerjasama dan memberi bantuan dari aspek tenaga kerja, kewangan, fasiliti dan kemahiran sebagai sokongan terhadap program pemulihan yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Mais dan agensi Islam lain menyatakan komitmen untuk bekerjasama dan memberi bantuan tenaga kerja, kewangan, fasiliti dan kemahiran sebagai sokongan terhadap program pemulihan yang dilaksanakan Kerajaan Selangor dan persekutuan,” ujarnya.

image is not available

Foto: Facebook Selangor Royal Office

Menerusi kenyataan Facebook Selangor Royal Office memaklumkan hal ini kerana pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH diyakini masih mengamalkan Aurad Muhammadiah atau Zikir Agung, dibawa oleh Kumpulan Darul Arqam yang diputuskan menyeleweng daripada akidah Islam sebenar menurut Warta No 54 yang disiarkan pada 4 Feb 1993.

image is not available

Foto: Malaysian Gazette

GISB @ GISBH adalah singkatan kepada nama syarikat Global Ikhwan Sdn. Bhd dan Global Ikhwan Services and Business Holdings.

Ia merupakan syarikat Bumiputera Islam yang diasaskan sejak dari tahun 2000 lagi oleh Allahyarham Ustaz Ashaari Muhammad, bekas pemimpin Al-Arqam yang telah diharamkan kerajaan.

Sumber: Bernama