Selangor FC mungkin hantar skuad B-23 beraksi di Liga Singapura

LocalFootball
12 Feb 2025 • 1:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Johan (tiga dari kiri) ketika majlis menandatangani kerjasama antara Selangor FC dan RMS Synergy pada Rabu.

SELANGOR FC tidak menolak kemungkinan bakal menghantar pasukan bawah 23 tahun (B-23) mereka untuk menyertai saingan Liga Premier Singapura (SPL) bagi musim 2025/2026 nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, ia antara perancangan yang boleh diteroka sekiranya tiada liga untuk skuad pelapis susulan status saingan Piala MFL yang masih menjadi tanda tanya.

Menurutnya, Selangor FC akan menunggu sebarang pengumuman mengenai perkara tersebut oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang dikhabarkan tidak akan meneruskan saingan Piala MFL dan mengembalikan saingan Liga Premier musim depan.

"Ini adalah perkara yang menarik (sertai SPL) tetapi kami belum melihat idea ini dengan lebih mendalam. Kita pun tak dapat lagi pengumuman mengenai Liga Premier atau Piala MFL dan buat masa ini, kita komited dengan Liga Malaysia.

"Malah, saya tidak pasti sama ada SPL akan terima atau tidak pasukan pelapis dan saya lihat banyak lagi perkara yang perlu dipertimbangkan," katanya selepas majlis menandatangani kerjasama antara Selangor FC dan RMS Synergy pada Rabu.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) membuat tawaran terbuka untuk mana-mana kelab dari luar negara untuk menyertai saingan SPL bagi musim 2025/2026 nanti.

Johan berkata, semua pemain B-23 mereka juga sudah menandatangani kontrak untuk musim depan dan pihaknya perlu memastikan ada pelan B yang boleh digunakan sekiranya tiada saingan Piala MFL atau Liga Premier musim depan.

"Kalau Liga Premier atau Piala MFL kekal pada musim depan, kita akan hantar pasukan beraksi di sini kerana pemain sedia ada sudah menandatangani kontrak.

"Namun, jika tidak, mungkin kita perlukan pelan B kerana pemain-pemain ini pun tiada kejohanan untuk mereka bermain," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved