
SHAH ALAM, 4 JULAI: Kerajaan Selangor komited menangani HIV secara menyeluruh dengan menumpukan kepada golongan berisiko termasuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
EXCO kesihatan awam berkata antara usaha awal adalah dengan menekankan pencegahan awal, saringan percuma dan rawatan segera yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia, badan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti.
“Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap perkembangan ini dan komited untuk menangani isu HIV secara menyeluruh dan berkesan, selaras dengan Pelan Strategik Kebangsaan untuk Menamatkan AIDS (NSPEA) 2016–2030.
“Langkah awal adalah menyediakan akses kepada ujian saringan HIV termasuk ujian kendiri, rawatan antiretroviral serta penggunaan kaedah pencegahan seperti Profilaksis Pra-Pendedahan (PrEP),” kata Jamaliah Jamaluddin menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata empat klinik kesihatan (KK) yang menyediakan perkhidmatan PrEP di Selangor adalah di KK Ampang, KK Pandamaran, KK Kelana Jaya dan KK Seksyen 7, Shah Alam.
Jelasnya, langkah berkenaan memberi peluang kepada individu yang berisiko mengetahui status mereka lebih awal sekali gus boleh mendapatkan rawatan segera tanpa stigma.
Manakala, tambahnya tindakan jangka panjang dengan menyebar luas kempen kesedaran supaya lebih ramai tampil untuk membuat saringan tanpa mempeduli stigma masyarakat.
“Ini disokong oleh usaha pendidikan kesihatan seperti Program Remaja Sihat Tanpa AIDS (PROSTAR) yang menyasarkan remaja dan pelajar IPT bagi membina kesedaran awal tentang bahaya HIV.
“Kerajaan Selangor menekankan bahawa pendekatan inklusif, berfakta dan mesra komuniti adalah penting untuk memastikan tiada siapa yang tertinggal dalam usaha menangani HIV,” katanya.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Kesihatan berkata seramai 1,091 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) direkodkan menghidap HIV bagi tempoh 2020 hingga 2024, dengan 222 kes baharu direkodkan tahun lalu.
Jelas Datuk Lukanisman Awang Sauni lebih membimbangkan, majoriti kes membabitkan remaja berusia 18 dan 19 tahun.
The post Selangor fokus tangani HIV, sasar pelajar IPT dan remaja berisiko appeared first on Selangorkini.


