
KUALA SELANGOR, 2 JUN: Lebih 1,000 pelancong mengunjungi Selangor Fruit Valley (SVF) setiap hari sempena musim cuti sekolah yang bermula pada 29 Mei lalu.
Penolong Pengurus Kanan SFV Raja Muhammad Faiz Raja Bazaid berkata antara tarikan terbaharu di pusat agropelancongan negeri itu adalah ladang anggur seluas 1.5 hektar.
“Pokok anggur mula ditanam di sini pada 2019. Naman Taman Anggur hanya mula dibuka kepada pengunjung pada Ogos tahun lalu kerana kita lakukan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) terlebih dahulu.
“Di sini kita mempunyai 71 jenis yang berbeza antaranya seperti Jupiter, Dixon, Monarch, Long White dan Ducat dan benih diperoleh dari Sabah serta Indonesia,” katanya kepada Media Selangor.
Raja Muhammad Faiz menambah, SFV menyediakan pengalaman memetik anggur kepada pengunjung dan hasilnya boleh dibeli pada harga RM25 bagi timbangan 500gram.
Menurutnya, SFV berhasrat memperluaskan lagi tanaman anggur pada masa akan datang termasuk menanam lebih banyak tanaman komoditi bernilai tinggi seperti buah tin.
“Hasil anggur buat masa sekarang hanya dipasarkan di sini sahaja, sama ada ia dijual bersama pakej memetik anggur atau dijual segar dari ladang anggur kami,” katanya.

Sementara itu, pengunjung, Tan Cheng Lu, 40, bersama suami warga United Kingdom, Reuben Cole, 40, meluahkan rasa teruja dapat memetik anggur buat pertama kali.
“Semuanya nampak tersusun di sini. Anak kami ada autism dan beliau sangat gembira meluangkan masa bersama alam semula jadi serta haiwan-haiwan kecil.
“Saya terkejut juga di sini ada anggur, kerana ia biasanya ada di kawasan tanah tinggi. Saya teruja lihat bagaimana mereka tanam dan jaga anggur,” katanya yang tinggal di Kajang.

Bagi Badriah Othman, 47, dan suaminya, Safrizan Ahmad, 49, musim cuti sekolah merupakan masa untuk meluangkan masa bersama tiga anak mereka sambil menikmati suasana di ladang pertanian.
“Suami mahu datang bawa anak-anak sebab cuti sekolah. Paling seronok di Laman Itik kerana anak-anak gembira di sana.
“Ini pertama kali saya tengok ladang anggur. Saya tidak tahu pun ada ladang anggur di sini. Buahnya juga rasa manis dan sedap,” katanya.
SFV yang terletak di Bestari Jaya, mempunyai lebih 20 jenis tanaman buah-buahan termasuk belimbing, durian, jambu batu, nangka, pulasan, kelapa dan nanas dengan keluasan hampir 1,000 hektar.





The post Selangor Fruit Valley terima ribuan pelancong, ladang anggur antara tarikan baharu appeared first on Selangorkini.
