
SHAH ALAM, 9 JULAI: Selangor berhasrat memperkukuh hubungan dua hala dengan Bandung, Indonesia menerusi pelbagai acara pelancongan bagi menarik lebih ramai pengunjung daerah itu ke negeri ini.
EXCO Pelancongan Dato' Ng Suee Lim berkata usaha itu termasuk penganjuran festival muzik, konsert dan pelancongan perubatan melibatkan kerjasama antara Tourism Selangor dan pelancongan Bandung.
Tambahnya, pameran pelancongan perubatan dan tawaran perkhidmatan kesihatan turut diadakan sepanjang Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor di Bandung bermula hari ini.
"Dalam misi kali ini, kami mengadakan pelbagai lawatan termasuk ke pejabat pelancongan Bandung serta menjadi tetamu di stesen radio tempatan, Ardan.
"Selain (itu), turut diadakan pertukaran pandangan dengan pihak kerajaan tempatan bagi memahami kelebihan pelancongan (di negara) masing-masing," katanya kepada Media Selangor.
Jelasnya, Bandung yang juga ibu kota Jawa Barat dengan populasi sekitar 2.4 juta penduduk menjadi tumpuan bagi mempromosikan pelancongan Selangor dan membincangkan kerjasama pada masa hadapan.
Suee Lim berkata kedua-dua pihak turut membincangkan potensi penganjuran konsert yang menampilkan penyanyi tempatan Indonesia dan Malaysia bagi menarik golongan muda Indonesia ke Selangor.
"Pemimpin pelancongan Bandung memperkenalkan keunikan tempatan termasuk Bandung yang menjadi lokasi penganjuran festival muzik dan konsert, malah dikenali sebagai tempat kelahiran ramai penghibur jalanan yang melahirkan ramai penyanyi terkenal Indonesia," katanya.
Sebelum ini, EXCO Pelaburan Ng Sze Han memaklumkan SIBS buat pertama kalinya melangkah ke persada antarabangsa dengan penganjuran acara sampingan selama dua hari sehingga esok di Bandung.
Katanya, acara yang turut membawa sebahagian perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan itu bertujuan membantu mereka mengembangkan pasaran luar negara.
"Ia turut menonjolkan usaha Selangor mengurangkan kebergantungan kepada pasaran dan rantaian bekalan tunggal, sekali gus memperkukuh daya tahan ekonomi serta kepelbagaian pembangunan.
"Penganjuran acara sampingan di Bandung kali ini lebih menumpukan forum yang menekankan pertemuan antara kerajaan dan perusahaan kedua-dua negara, bukannya persidangan berskala besar," katanya.


