
KUALA LUMPUR - Kerajaan negeri Selangor telah mengenal pasti tanah seluas 1,699.68 hektar (4,200 ekar) untuk dibangunkan sebagai pelabuhan ketiga di Pulau Carey, Kuala Langat.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, ia merangkumi 1,011.71 hektar tanah dasar laut yang diuruskan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan 687.96 hektar (1,700 ekar) tanah pesisir pantai milik Yayasan Selangor.
Beliau memberitahu, butiran lanjut akan dimuktamadkan dalam tempoh sebulan sebelum cadangan dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan untuk memilih pemaju.
Tambahnya, kerajaan negeri akan memainkan peranan aktif dalam membangunkan serta menguruskan kemajuan Pelabuhan Pulau Carey, Amirudin berkata projek ini dilihat sebagai pemangkin utama pertumbuhan Selangor untuk tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.
“Insya-Allah kerajaan negeri akan terlibat secara aktif dalam pembangunan ini dan juga dalam proses mengurus kemajuan Pelabuhan Pulau Carey yang kita lihat sebagai salah satu pemangkin baharu kepada pembangunan negeri Selangor dalam tempoh terdekat hingga 20 atau 30 tahun mendatang.
"Ini juga akan memberikan hasil berpanjangan kepada negeri malah satu potensi baharu kepada PKNS sebagai unit pembangunan ekonomi negeri dan juga mengukuhkan kedudukan Yayasan Selangor menyambung tugas membiayai pendidikan dan institusi pendidikan negeri," katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara PKNS dan Yayasan Selangor di Shah Alam, hari ini.
MoU yang dimeterai itu ntara lain melibatkan kerjasama di antara PKNS dan Yayasan Selangor dalam merancang sebuah kawasan pembangunan baharu yang mampan dan berdaya saing di atas tanah milik Yayasan Selangor di Pulau Carey bagi tujuan pembangunan Pelabuhan Ketiga.
Inisiatif strategik ini turut merangkumi penilaian terhadap model perniagaan usaha sama yang sesuai dan berdaya maju, selain merangka syarat pembangunan bagi fasa seterusnya.
Dalam pada itu, Amirudin berkata PKNS juga akan menjadi wakil kerajaan negeri untuk memegang syer dan hak milik kepada pelabuhan yang akan dibina itu.
"Beza Pelabuhan ketiga ini dengan Pelabuhan Klang, kita mempunyai penyertaan dan keterlibatan aktif dalam aspek pembinaan serta operasi pelabuhan," katanya. - 17 September, 2025
The post Selangor kenalpasti 1,699 hektar tanah untuk pembangunan pelabuhan ketiga di Pulau Carey appeared first on Scoop.
