SHAH ALAM, 3 SEPT: Kerajaan Selangor memeterai kerjasama dengan Kedah dalam perkongsian kepakaran, teknologi, dan khidmat nasihat berkaitan pembangunan infrastruktur utiliti di negeri masing-masing.
Dato’ Menteri Besar berkata usahasama tersebut membabitkan agensi milik Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor, Koridor Utiliti Selangor (Kusel) dan Utiliti Infra Darul Aman (UiDA).
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari kerjasama bersejarah itu membuktikan kedua-dua negeri mampu bergerak matang tanpa menjadikan perbezaan politik sebagai alasan demi kepentingan rakyat.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan kerjasama antara Kusel dan UiDA. Ini membuktikan Malaysia bergerak kepada usaha kerjasama yang matang dan pragmatik.

“Inilah prinsip Kita Selangor dan ikthiar yang dibawa oleh perdana menteri. Selangor turut bertekad meneruskan pendekatan ini demi kemaslahatan rakyat,” katanya berucap pada majlis berkenaan.
Terdahulu, Amirudin dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Kusel dan UiDA di bangunan pentadbiran Selangor di sini, hari ini.
Kusel diwakili pengarah urusannya Khairul Azmi Misran, manakala UiDA diwakili ketua pegawai eksekutifnya Ahmad Taufik Radzi. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MBI Selangor Saipolyazan M Yusop.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berharap Selangor sudi menerima kesediaan Kerajaan Kedah untuk bersama membangunkan kemudahan utiliti sekali gus memajukan ekonomi negeri masing-masing.
“Kedah pilih Selangor kerana utiliti di Selangor ada cabaran. Ia seolah-olah kita mahu belajar subjek matematik tambahan dengan Selangor, jadi kena mai (jumpa) cikgu,” katanya.
Untuk rekod, Selangor memiliki lebih 24,000 kilometer (km) jajaran paip, manakala Kedah mempunyai 14,000 km jajaran paip di seluruh negeri.

The post Selangor kongsi kepakaran, teknologi pengurusan utiliti dengan Kedah appeared first on Selangorkini.

