Selangor mahu pusat data berkembang tanpa jejas sumber air

LocalEnvironment
8 Sep 2026 • 8:38 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Selangor mahu pusat data berkembang tanpa jejas sumber air

SHAH ALAM, 8 SEPT: Pertumbuhan pesat industri pusat data dan ekonomi digital di Selangor perlu dilaksanakan seiring usaha melindungi sumber air serta kelestarian alam sekitar.

EXCO Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, Selangor tidak perlu memilih antara pertumbuhan ekonomi dan kelestarian, sebaliknya pembangunan perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab, cekap dan berdaya tahan untuk jangka panjang.

“Pertumbuhan pusat data dan ekonomi digital mesti bergerak seiring dengan usaha melindungi sumber air dan alam sekitar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Air Pusat Data Selangor 2026 di MAB Academy yang menghimpunkan wakil agensi kerajaan, pemain industri pusat data, pakar teknikal, ahli akademik serta pihak berkepentingan sektor air.

Menurut Jamaliah, seminar berkenaan menjadi platform membincangkan pendekatan dan penyelesaian terhadap cabaran kelestarian air susulan perkembangan pesat ekonomi digital di negeri ini.

Antara inovasi yang diketengahkan ialah Penuaian Air Hujan Pintar, sistem guna semula air dan Aquifer Thermal Energy Storage (ATES).

Katanya, teknologi berkenaan berpotensi mengurangkan kebergantungan terhadap air terawat, sekali gus memperkukuh daya tahan sumber air Selangor.

Jamaliah berharap perbincangan dan perkongsian idea menerusi seminar itu dapat diterjemahkan kepada kerjasama bermakna serta penyelesaian praktikal yang memberi manfaat kepada rakyat dan alam sekitar.

Sebelum seminar bermula, beliau turut meninjau kemudahan MAB Academy bagi melihat lebih dekat ekosistem latihan dan pembangunan yang menyokong industri penerbangan.

Turut hadir Presiden Institut Geologi Malaysia, Adam Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Air Lestari Sdn Bhd, Ahmad Rosly Ahiar.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved