

SEPANG, 29 JULAI: Projek pembinaan Stesen Pam Air Semenyih pakej D di Jenderam Hilir melalui inisiatif Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Selangor mula beroperasi bagi menangani pencemaran sumber air mentah di negeri ini.
EXCO infrastruktur berkata permulaan operasi pakej D menjadi pelengkap pelaksanaan keseluruhan empat projek dibina Kerajaan Negeri dengan kos keseluruhan RM320 juta sejak 2022.
Dato’ Ir Izham Hashim menjelaskan pam air tersebut mempunyai keupayaan mengesan pencemaran pada jarak satu kilometer termasuk mengalirkan air tercemar ke sauk stesen pam dalam tempoh kurang satu jam.

“Bila berlaku pencemaran kita alihkan air dengan menggunakan sistem pemantaun sungai (RMS) hingga ke laut.
“Ia juga merupakan projek pengepaman terus dari kolam takungan di Sungai Selangor dan Sungai Langat, bagi jamin tiada gangguan operasi di tiga lagi loji rawatan air di bawah SJAM,” katanya.
Ditemui pemberita selepas menyempurnakan serahan projek pam, Izham memberitahu Kerajaan Negeri akan terus mempergiat usaha menangani pencemaran air melalui pemantauan, undang-undang, pelan pra-rawatan dan penguatkuasaan.
“Saya teruja dengan kejayaan pembinaan SJAM, Selangor menjadi negeri pertama melaksanakan projek sebegini.
“Hasilnya, melalui pakej D, tiga pencemaran dapat diatasi iaitu pada 5 Julai, 15 Julai dan 28 Julai pada bulan ini,” ujarnya.

Diperkenalkan dalam Belanjawan Selangor 2021, SJAM bertujuan menangani insiden pencemaran sungai dan kekurangan air mentah yang turut melibatkan inisiatif rondaan serta pemantauan proaktif 24 jam yang digerakkan Pasukan Tindakan Segera Lembaga Urus Air Selangor.
Di bawah SJAM, Pakej A membabitkan pembinaan stesen pam HORAS 600, stesen pam di Rantau Panjang (Pakej B), kerja lencongan Sungai Selangor (Pakej C), dan Pakej D merupakan stesen pam kolam di Semenyih.
The post Selangor operasi Stesen Pam Semenyih tangani pencemaran air appeared first on Selangorkini.


