Selangor pasang 13 lampu solar, terangi dua kampung Orang Asli di Sepang

1 Jul 2025 • 10:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

Oleh Dewi Abdul Rahman

SEPANG, 1 JUL: Sebanyak 13 lampu solar dipasang di beberapa laluan utama melibatkan dua perkampungan Orang Asli di daerah ini, sekali gus meningkatkan keselamatan penduduk terutama pada waktu malam.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu berkata lapan lampu solar dipasang di Kampung Bukit Bangkong dan lima lagi di Kampung Sungai Belankan yang majoritinya dihuni Orang Asli dari suku Mahmeri.

image is not available
EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu bercakap kepada media selepas merasmikan program pemasangan lampu solar di Kampung Orang Asli Bukit Bangkong dan Kampung Orang Asli Sungai Belankan di Sungai Pelek, Sepang pada 30 Jun 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Pemasangan melibatkan laluan penting seperti Jalan Tok Sen, Jalan Batin Todak, Jalan Tok Abon dan Jalan Tok Ju.

“Projek ini memberi manfaat kepada 372 isi rumah membabitkan kira-kira 1,071 penduduk,” katanya kepada Media Selangor selepas merasmikan program berkenaan di Kampung Bukit Bangkong, semalam.

image is not available
EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu (tengah) merasmikan program pemasangan lampu solar di Kampung Orang Asli Bukit Bangkong dan Kampung Orang Asli Sungai Belankan di Sungai Pelek, Sepang pada 30 Jun 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Menurut Papparaidu, inisiatif berkenaan mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan pembangunan yang dilaksanakan tidak meminggirkan masyarakat minoriti.

“Usaha ini bukan sahaja memperbaiki aspek fizikal dan keselamatan kampung, malah mengeratkan hubungan antara kerajaan dan komuniti setempat.

“Ia juga memperkukuh prinsip keadilan sosial yang menjadi asas pentadbiran Kerajaan Negeri,” tambahnya.

image is not available
EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu (duduk, tengah) bergambar bersama penduduk Kampung Orang Asli Bukit Bangkong dan Kampung Orang Asli Sungai Belankan selepas merasmikan program pemasangan lampu solar di kedua-dua kampung berkenaan di Sungai Pelek, Sepang pada 30 Jun 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR