Selangor perkenal Hotline PLATS, perkukuh sokongan usahawan

LocalBusiness & Finance
27 Apr 2026 • 10:01 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Selangor perkenal Hotline PLATS, perkukuh sokongan usahawan

SHAH ALAM, 27 APRIL: Kerajaan Negeri memperkenalkan Hotline Platform Selangor (PLATS) bagi membantu usahawan berdepan ketidaktentuan ekonomi dengan akses lebih pantas kepada bantuan dan penyelesaian perniagaan.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata, inisiatif itu diwujudkan sebagai saluran berpusat untuk menyelaras penyaluran pelbagai bantuan dan program keusahawanan negeri agar lebih teratur dan responsif.

"Hotline ini (017-6481709) berfungsi sebagai single point of contact bagi pertanyaan, aduan, penyelesaian isu serta akses kepada pembiayaan, latihan dan program keusahawanan.

"Melalui pendekatan ini, setiap keperluan usahawan dapat ditangani secara cepat, terselaras dan berkesan," katanya pada sidang media di Bangunan Annex Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Najwan berkata ekosistem PLATS terus diperkasakan sebagai platform sokongan menyeluruh yang merangkumi pendigitalan, pembiayaan, latihan dan jaringan kerjasama, dengan seramai 90,822 usahawan telah berdaftar setakat ini.

Image from: Selangor perkenal Hotline PLATS, perkukuh sokongan usahawan
EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi pada sidang media ketika Persidangan Penggal Keempat Kali Ke-15 Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 27 April 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Menurutnya, antara inisiatif utama ialah PLATS Biaya yang menawarkan pembiayaan sehingga RM3,000 tanpa faedah dengan tempoh bayaran balik sehingga 12 bulan, selain permohonan boleh diproses dalam tempoh sepantas 48 jam.

Selain itu, katanya pelaksanaan U-PLATS akan terus diperkasa melalui program latihan, pembangunan kapasiti dan agenda pendigitalan bagi meningkatkan keupayaan jualan serta mengurangkan kebergantungan kepada kos operasi fizikal.

"Usahawan yang terlibat akan menerima peranti Point of Sales Platform Selangor (PosPlats) secara percuma bagi menyokong pelaksanaan transaksi tanpa tunai," katanya.

Bagi jangka panjang, beliau berkata Kerajaan Negeri memberi penekanan kepada transformasi model perniagaan serta pengukuhan rantaian bekalan termasuk kerjasama strategik dengan pembekal besar dan pasaran serantau ASEAN.

"Saya yakin melalui pendekatan yang berteraskan penstabilan, pengukuhan dan transformasi ini, Selangor mampu membina ekosistem keusahawanan yang lebih inklusif, tahan krisis dan berdaya saing tinggi," katanya.

Beliau turut menegaskan Kerajaan Negeri akan terus memastikan golongan usahawan mikro tidak tercicir dalam arus perubahan ekonomi.

"Kerajaan Negeri akan terus memastikan tiada usahawan mikro yang tercicir dalam arus perubahan ekonomi," katanya.

Pada 2023, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperkenal program U-PLATS antaranya bagi membantu usahawan menguruskan perniagaan secara digital dengan penglibatan 12 pihak berkuasa tempatan.

Antara modul bimbingan termasuk berkaitan pengenalan kepada keusahawanan, media sosial dan e-dagang serta penciptaan kandungan digital.

View Original Article