
SERDANG, 26 JUN: Selangor mempergiat usaha memacu pertumbuhan industri aeroangkasa menerusi pengukuhan pembangunan bakat, rantaian bekalan dan kesiapsiagaan industri, kata kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.
Ketua Unit Khas Aeroangkasa dan Penerbangan MBI, Zaniffa Azura Ahmad berkata infrastruktur kekal menjadi faktor penting dalam menarik pelaburan sektor aeroangkasa.
Menurutnya, ekosistem aeroangkasa yang kukuh, lokasi strategik, tenaga kerja mahir serta daya saing kos membolehkan Selangor terus menyokong syarikat yang ingin memperluas operasi mereka.
“Jika melihat kepada rekod pencapaian Selangor, pembangunan aeroangkasa di Subang termasuk Selangor Aero Park dan zon sokongan aeroangkasa lain membuktikan negeri ini menyediakan infrastruktur yang lengkap untuk pemain industri.
“Semuanya mempunyai infrastruktur yang tersedia, sekali gus menggalakkan pemain industri membawa operasi mereka ke sini, bertapak dan terus berkembang,” katanya pada Forum Selangor sebagai Pemacu Pertumbuhan Industri Aeroangkasa Malaysia: Infrastruktur, Pembangunan Bakat dan Kesiapsiagaan Industri di MAEPS, hari ini.
Bagaimanapun, Zaniffa mengakui pembangunan bakat masih menjadi cabaran utama apabila wujud ketidakpadanan antara kemahiran tenaga kerja sedia ada dengan keperluan sebenar industri aeroangkasa.
"Kita selalu menyatakan negara mempunyai tenaga kerja mahir, tetapi realitinya masih berlaku ketidakpadanan antara kemahiran yang dimiliki dengan keperluan industri, selain kumpulan bakat yang ada juga sangat terhad," katanya.

Beliau berkata MBI turut bekerjasama dengan pemain industri untuk memperkukuh ekosistem aeroangkasa, termasuk meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan serta menyokong syarikat yang ingin menceburi sektor berkenaan.
Pada forum sama, Pengarah Urusan UMW Aerospace Mohd Fariz Hashim berkata kesiapsiagaan industri aeroangkasa bukan sekadar bergantung kepada infrastruktur fizikal, sebaliknya memerlukan utiliti yang stabil, rangkaian digital, rantaian bekalan yang kukuh dan tenaga kerja mahir.
“Kesiapsiagaan infrastruktur bukan hanya mengenai bangunan pejabat, kilang atau gudang, tetapi turut melibatkan bekalan air, elektrik, infrastruktur teknologi serta rangkaian komunikasi yang stabil,” katanya.
Beliau berkata Selangor mempunyai asas kukuh apabila kira-kira 80 peratus pembekal UMW Aerospace merupakan syarikat tempatan yang berpangkalan di negeri ini.
Menurutnya, pembangunan bakat kekal menjadi antara cabaran terbesar industri dan lebih banyak usaha perlu dilakukan bagi menarik minat pelajar menyertai bidang aeroangkasa serta memastikan graduan memiliki pengalaman praktikal yang diperlukan industri.
Fariz berkata kerjasama lebih erat antara industri, kerajaan dan institusi akademik perlu diperkukuh bagi membangunkan kumpulan bakat yang mampan serta mempercepat inovasi.
Katanya, Selangor mempunyai asas industri aeroangkasa yang kukuh, namun ekosistemnya perlu terus diperkasakan menerusi kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang lebih menyeluruh, pengukuhan kluster industri serta sistem sokongan bagi menarik lebih banyak pembekal dan pelabur.
“Tidak memadai sekadar memiliki pengetahuan teknologi, sebaliknya pengalaman praktikal amat penting dan di sinilah kekurangan yang perlu kita atasi.
“Kita tidak mahu sekadar menjadi pengikut kepada teknologi dan trend, sebaliknya mahu menjadi peneraju yang mencorakkannya. Itulah jurang yang perlu diperbaiki,” katanya.




