
SHAH ALAM, 9 JULAI: Selangor memperuntuk RM12 hingga RM16 juta setiap tahun bagi memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selaras usaha berterusan melahirkan tenaga kerja mahir berdaya saing, maklum EXCO sumber manusia.
V Papparaidu berkata peruntukan itu meliputi penajaan pelatih di institusi TVET seperti Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) dalam program Pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Kemahiran Profesional dan kursus kemahiran jangka pendek.
“Selain penajaan, dana itu turut digunakan bagi pembangunan modul TVET serta pelaksanaan program jaringan kerjasama dengan institusi dan industri di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Ia bertujuan memperkukuh sistem TVET dan memastikan institusi seperti STDC sentiasa berada pada tahap optimum selari perkembangan teknologi semasa agar pelatih bersedia menghadapi suasana kerja sebenar dalam industri,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Jelasnya, kira-kira 1,200 hingga 1,500 pelatih pelbagai bidang daripada STDC dilahirkan setiap tahun.
“Kerajaan Negeri sentiasa memberi peluang adil kepada setiap warganya yang layak termasuk kaum India untuk menerima tajaan latihan di institusi ini.
“Sekitar 30 hingga 40 peratus daripada jumlah pemohon di STDC setiap tahun terdiri kaum India yang menunjukkan trend peningkatan saban tahun didorong galakan ahli keluarga dan rakan-rakan yang berjaya menyertai dan menamatkan latihan di STDC,” katanya.
STDC menawarkan peluang pengajian dalam TVET antaranya kursus elektrik, sistem komputer, jahitan, automotif, kulinari, pastri dan motosikal.
The post Selangor peruntuk hingga RM16 juta perkasa TVET, lahir tenaga kerja mahir appeared first on Selangorkini.


