SHAH ALAM, 19 DIS: Kerajaan Negeri menyalurkan lebih RM285 juta sejak 2009 bagi menampung kos membaik pulih sekolah seluruh Selangor.
Dato’ Menteri Besar memberitahu tekad pentadbiran mewujudkan persekitaran pembelajaran dan pengajaran kondusif diambil menerusi insiatif Program Bantuan Sekolah Selangor.

“Negeri ini harus berpaksikan kepada pendidikan. Pendidikan harus jadi tunjang kepada asas keluhuran jati diri, hinggalah kepada pembangunan yang dilaksanakan.
“Tidak kira sama ada pembangunan itu dalam bidang sukan, kebudayaan atau ekonomi hinggalah kepada modal insan, pendidikan harus menjadi tunjang,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Berucap pada majlis penyerahan Program Bantuan Sekolah Selangor 2024 hari ini, beliau berkata dana berkenaan disalurkan secara menyeluruh kepada semua jenis sekolah.
“Aspek keadilan dan kesaksamaan ini harus kita terapkan melalui pendidikan supaya semua pihak dapat kita santuni.
“Itu yang mendorong saya selaku Dato’ Menteri Besar untuk mengambil tanggungjawab portfolio pendidikan di peringkat negeri dengan melihat kepada pendidikan bukan saja dalam tempoh dan waktu sekolah, tetapi pendidikan sepanjang hayat,” katanya.

Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2024 menyaksikan 825 sekolah menerima peruntukan sebanyak RM26.5 juta membabitkan Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan.
Selain itu, manfaat sama turut diberikan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Menengah Persendirian Cina, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan dan Sekolah Mubaligh.

Amirudin dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2025 mengumumkan Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor diteruskan tahun depan dengan peruntukan sebanyak RM26.5 juta.
Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor memberikan bantuan kewangan untuk membaik pulih serta membaiki infrastruktur sekolah di negeri ini.

The post Selangor salur lebih RM285 juta, tampung kos baik pulih prasarana sekolah sejak 2009 appeared first on Selangorkini.



