Selangor salur RM64,000 ringankan beban mangsa ribut di Sijangkang

LocalPolitics
17 Oct 2025 • 4:39 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 17 OKT: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM64,000 bagi membantu 64 keluarga yang terjejas akibat ribut dan puting beliung di Sijangkang, Kuala Langat baru-baru ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata menerusi bantuan itu setiap keluarga akan menerima RM1,000 untuk bagi meringankan beban mereka.

image is not available
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan ketika Majlis Anugerah Kecemerlangan Sagong Tasi Negeri Selangor Tahun 2025 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 16 Oktober 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

"Selain itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) turut mengesan seramai 14 penduduk termasuk seorang pegawai pusat khidmat yang mengalami kecederaan akibat kejadian ribut tersebut.

"Kesemua mereka sedang dirawat di hospital dan akan diberikan bantuan sebanyak RM1,000 seorang," katanya dalam kenyataan hari ini.

image is not available
Keadaan Sekolah Kebangsaan Kampung Medan Teluk Panglima Garang yang mengalami kerosakkan teruk selepas dilanda ribut dan puting beliung dirakaman ketika tinjauan Media selangor pada 16 Oktober 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Amirudin turut memaklumkan kerja baik pulih Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan yang terjejas akibat bencana itu akan dilaksanakan dengan anggaran kos RM320,000 di bawah Tabung Bencana Negeri.

Kelmarin, beberapa kawasan di Meru, Klang dan Sijangkang, Kuala Langat dilanda ribut kuat disusuli puting beliung menyebabkan kerosakan teruk pada rumah, sekolah dan kenderaan penduduk.

Susulan kejadian itu, Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyalurkan bantuan awal berjumlah RM400,000, manakala Jabatan Agama Islam Selangor turut menyumbang RM5,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta RM500 kepada 13 pelajar SRA Kampung Medan yang terjejas.

image is not available
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor dibawa meninjau keadaan Pusat Khidmat penyelaras DUN Sijangkang yang musnah dilanda ribut dan puting beliung pada 16 Oktober 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR