Selangor Sambut Baik Cadangan Lokasi Hospital Awam PJ - Amirudin

LocalHealth & Fitness
27 May 2026 • 5:37 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Selangor Sambut Baik Cadangan Lokasi Hospital Awam PJ - Amirudin

KUALA LUMPUR - Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik persetujuan dicapai mengenai cadangan lokasi tapak pembinaan hospital awam Petaling Jaya seperti yang diumumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dicapai hasil mesyuarat penyelarasan pada 14 Mei yang melibatkan agensi persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurut beliau, pembangunan itu mencerminkan kerjasama rapat antara kerajaan persekutuan dan negeri dalam memperkukuhkan kemudahan kesihatan awam, khususnya bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin meningkat di daerah Petaling.

“Usaha mengenal pasti tapak yang sesuai untuk hospital awam di Petaling Jaya telah giat dijalankan oleh kerajaan negeri sejak 2018, dengan mengambil kira pertumbuhan penduduk di daerah Petaling yang kini mencecah kira-kira 2.3 juta orang.

“Di Petaling Jaya sahaja, jumlah penduduk dianggarkan melebihi 800,000 orang,” katanya hari ini.

Ketika ini, penduduk sekitar daerah Petaling bergantung kepada kemudahan sedia ada termasuk Hospital Sungai Buloh yang mempunyai kapasiti 1,037 katil; Hospital Shah Alam (490 katil); dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (946 katil) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Amirudin berkata, kerajaan negeri turut bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menangani isu kesesakan dan akses ke hospital awam di beberapa kawasan lain di Selangor.

Beliau berkata, Hospital Cyberjaya dan Hospital Tanjong Karang adalah antara hasil kerjasama tersebut, masing-masing siap pada tahun 2022 dengan kapasiti 288 katil dan 150 katil.

Selain itu, katanya, Hospital Kapar yang memiliki kapasiti 312 katil dijangka siap hujung tahun ini dan bakal membantu mengurangkan kesesakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang serta Hospital Shah Alam.

Jelas beliau, lokasi yang dicadangkan untuk Hospital Petaling Jaya dilihat sesuai dari segi akses penduduk, kapasiti pembangunan, kos tanah dan kedudukannya yang berhampiran pusat populasi.

Katanya lagi, hospital 500 katil itu juga dirancang dibina secara menegak seperti Hospital Ampang bagi mengoptimumkan penggunaan tanah dan kos pembangunan.

“Lawatan tapak oleh Kementerian Kesihatan akan dijalankan dalam masa terdekat dengan penglibatan agensi kerajaan negeri termasuk Unit Perancang Ekonomi Negeri, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Pejabat Daerah Petaling.

“Kerajaan Negeri Selangor bersedia memudah cara dan mempercepatkan urusan tanah supaya projek Hospital Petaling Jaya dapat direalisasikan demi manfaat penduduk Petaling Jaya, Subang Jaya dan Puchong,” tambahnya. – Getaran, 27 Mei 2026