Selangor sasar beralih daripada pemasangan kepada reka bentuk cip

LocalTechnology
15 Oct 2026 • 8:54 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Selangor sasar beralih daripada pemasangan kepada reka bentuk cip

KUALA LUMPUR: Selangor menyasarkan peralihan daripada aktiviti pemasangan kepada reka bentuk cip dan kejuruteraan teknologi bernilai tinggi bagi memperkukuh kedudukannya dalam rantaian nilai semikonduktor global.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, negeri itu tidak lagi mahu bergantung kepada persaingan berasaskan kos buruh rendah, sebaliknya memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga mahir, teknologi termaju dan hubungan pelaburan jangka panjang.

Katanya, peralihan itu penting bagi memastikan Selangor mampu bersaing dalam industri bernilai tinggi, termasuk reka bentuk litar bersepadu (IC), automasi elektronik, pembangunan data dan harta intelek.

“Bersama-sama, kita sedang mengubah hala tuju daripada ‘buatan Malaysia’ kepada ‘direka bentuk dan direkayasa oleh Malaysia’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026 yang bertemakan ‘Selangor, Gerbang ke ASEAN’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Sidang kemuncak yang berlangsung dari 14 hingga 17 Oktober itu menampilkan 526 reruai dengan penyertaan antarabangsa dari Singapura, Indonesia, Jepun, Filipina, Thailand, India, Jerman, Amerika Syarikat, China, Taiwan, Bangladesh, Kenya, Sri Lanka, Brazil dan Vietnam.

Acara selama empat hari itu menyasarkan kehadiran 50,000 pengunjung serta nilai transaksi berpotensi sebanyak RM8 bilion.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Selangor mengalu-alukan pelabur yang mahu membina kerjasama berterusan dan membangunkan ekonomi negeri, khususnya melalui pelaburan yang mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Jika anda mencari tanah murah dan tenaga kerja murah, Selangor bukan tempatnya. Namun, jika anda mahu membangunkan kerjasama jangka panjang serta memanfaatkan tenaga kerja dan kepakaran terbaik Malaysia, saya menggesa anda untuk melihat Selangor,” katanya.

Sementara itu, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, matlamat Persidangan Perniagaan Selangor ASEAN (SABC) 2026 kini merentasi peranan asasnya sebagai pintu masuk serantau.

“Tujuan kita bukan sekadar menjadikan Selangor sebagai pintu masuk ke ASEAN, sebaliknya memastikan bahawa melalui Selangor, generasi baharu bersedia untuk memimpin ASEAN,” titah baginda.

Dalam pada itu, SIBS 2026 turut menyaksikan penyampaian beberapa surat hasrat (LOI) daripada pelabur asing kepada Invest Selangor dengan fasilitasi oleh UOB Malaysia.

Antara syarikat yang terlibat merangkumi Shenghui Biotechnology (Malaysia) Sdn. Bhd., Galaxy Data Centre, XTC New Energy dan Wuxi Weifu Environmental Catalysts Co. Ltd.

Penyerahan LOI berkenaan melibatkan potensi pelaburan melebihi RM3 bilion, sekali gus mencerminkan minat kukuh pelabur antarabangsa untuk meneroka peluang perniagaan dan pertumbuhan di Selangor.-UTUSAN

 

 

The post Selangor sasar beralih daripada pemasangan kepada reka bentuk cip appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved