Selangor sasar dua juta pemilikan atas tanah, strata tiga tahun akan datang: MB

4 Apr 2023 • 3:03 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SHAH ALAM: Selangor disasarkan memiliki sekitar dua juta pegangan atau pemilikan atas tanah dan berstrata dalam tempoh tiga tahun berbanding 1.8 juta pemilikan setakat ini, selaras dengan pelbagai projek pembangunan yang sedang dilaksanakan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata projek-projek pembangunan berkenaan banyak tertumpu di daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Jumlah pegangan atau pemilikan hartanah sebanyak 1.8 juta itu telah menjadikan Selangor sebagai negeri tertinggi memiliki pegangan berkenaan.

“Angka itu tidak termasuk pemilikan yang digazet dan rizab yang khaskan bawah kelolaan kerajaan sama ada bawah Setiausaha Kerajaan Negeri atau hak milik tanah kerajaan,” katanya pada pemberita selepas merasmikan Pusat Setempat (OSC) Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Mengulas perasmian OSC PTGS hari ini, Amirudin berkata fasiliti itu menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan bagi urusan seperti penghantaran dokumen perserahan tanah dan strata, pungutan perserahan, pembelian carian rasmi serta persendirian, permohonan hak milik hilang/rosak termasuk pembayaran cukai tanah dan fi.

Pembinaan pusat setempat yang dilaksanakan dengan kos kontrak bernilai RM10.76 juta itu dimulakan pada 14 Dis 2020 dan mula beroperasi sepenuhnya menjelang 1 Mac lalu. - Bernama