Selangor sasar sumbang RM500 bilion kepada KDNK dalam tempoh tiga tahun

17 Jul 2024 • 11:24 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available
1

OLEH YASMIN RAMLAN

PETALING JAYA, 17 JULAI: Kerajaan Selangor menyasar untuk menyumbang RM500 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dalam tempoh tiga tahun.

Menzahirkan keyakinan terhadap Invest Selangor Bhd sepanjang 25 tahun, bagaimanapun, Dato’ Menteri Besar enggan selesa atau leka dengan pencapaian tersebut.

“Saya percaya pasukan Invest Selangor diketuai (ketua pegawai eksekutif) Datuk Hasan Azhari melakukan kerja luar biasa untuk mencapai kejayaan, tetapi ia tidak menjamin kejayaan masa depan.

“Itulah sebab utama kita perlu melihat luar sempadan, bukan berpuas hati sepenuhnya dengan RM400 bilion, tetapi mencari jalan untuk membina ekonomi RM500 bilion dalam dua ke tiga tahun akan datang,” katanya.

image is not available
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap dalam majlis Malam Sambutan Jubli Perak Invest Selangor di Hotel Sheraton, Petaling Jaya pada 15 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Bercakap dalam sambutan Jubli Perak di Hotel Sheraton di sini kelmarin, Amirudin menambah Selangor mengekalkan prestasi tinggi dalam sektor pembuatan tidak kurang RM12 bilion setahun sejak 2018.

Dalam pada itu, katanya, Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dilancarkan dua tahun lalu kini mencapai kemajuan 33.7 peratus setakat Jun bagi projek dan inisiatif utama.

Jelasnya, projek lain dalam pelbagai peringkat pelaksanaan, termasuk Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan, Kawasan Pembangunan Sabak Bernam dan Kompleks Sukan Shah Alam.

“RS-1 bukan sahaja merangkumi kawasan utama yang ingin dibangunkan Selangor, tetapi mewakili hubungan kerja yang rapat dengan sektor swasta melalui pendekatan inklusif,” katanya lagi.

Sebelum ini, Jabatan Perangkaan melaporkan Selangor mencatat sumbangan KDNK 2023 sebanyak RM406.1 bilion, dengan negeri itu melepasi kadar pertumbuhan ekonomi negara 5.4 peratus.