
SHAH ALAM, 16 NOV: Selangor berhasrat bukan sahaja menerajui industri robotik negara, malah menjadi pusat pengujian dan simulasi teknologi itu bagi memenuhi keperluan pelbagai sektor industri.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata usaha itu akan diperkukuh menerusi pembangunan makmal kejuruteraan dan simulasi oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC).
"Melalui makmal kejuruteraan dan simulasi yang akan diwujudkan oleh SIDEC, kita akan melatih robot untuk tugas yang diperlukan oleh kilang.
"Pada masa sama, usaha ini turut membuka peluang pekerjaan baharu seperti jurutera AI, jurutera robot dan jurulatih robot," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pameran produk SIDEC di Dewan Annexe, Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Pada majlis sama, SIDEC turut mengumumkan penyertaan Work E Robotics sebagai rakan kongsi baharu dalam ekosistem Kampus Robotik SIDEC.
Mengulas lanjut, Sze Han berkata Selangor menyasarkan untuk menerajui pengujian dan penggunaan robotik, bermula dengan sektor pengawasan sebelum diperluas kepada sektor pembuatan serta operasi lapangan terbang.
"Penyertaan Work E Robotics dalam Kampus Robotik mengukuhkan ekosistem yang sedang kita bina untuk merealisasikan hasrat ini," ujarnya.
Beliau berkata, Work E Robotics yang akan beroperasi di IC Design Park 2, Cyberjaya memiliki teknologi robotik termasuk robot humanoid bagi membantu kerja pengendalian bahan dan pemasangan ringkas.
Katanya, teknologi lain merangkumi robot autonomi berkuasa kecerdasan buatan (AI) untuk rondaan dan pemeriksaan serta robot perkhidmatan bagi urusan kaunter hadapan.
Menurutnya, penggunaan robotik juga mampu membantu industri menangani kesukaran mendapatkan pekerja bagi melaksanakan tugas berulang, selain memperluas penggunaan automasi pintar.
Sze Han berkata, pembangunan teknologi berkenaan turut disokong ekosistem reka bentuk cip tempatan, dengan IC Design Park di Puchong dan Cyberjaya kini menempatkan 20 syarikat yang menggaji 432 jurutera siswazah baharu.
"Cip, robot dan bakat, semuanya ada di Selangor. Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha ini," katanya.

