Selangor Sedang Perinci Pelan Bekerja Dari Rumah Jimat Penggunaan Bahan Api

LocalPolitics
31 Mar 2026 • 5:08 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Selangor Sedang Perinci Pelan Bekerja Dari Rumah Jimat Penggunaan Bahan Api

SHAH ALAM, 31 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor sedang memperincikan pelan bekerja dari rumah (BDR) di peringkat pentadbiran negeri bagi mengurangkan tekanan penggunaan bahan api seperti yang dipertimbangkan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata perkara itu juga dilihat mampu meningkatkan fleksibiliti kerja dan menjimatkan penggunaan tenaga, terutama dalam keadaan harga minyak dunia yang tidak stabil berikutan krisis di Asia Barat.

“Bahagian Sumber Manusia Negeri sedang menyiapkan pelan itu. Jika terdapat keperluan, saya akan maklumkan kepada pengurusan. Niat utama adalah untuk mengurangkan tekanan penggunaan bahan api kenderaan, sambil mengekalkan produktiviti kerja.

“Pelan ini akan dinilai secara keseluruhan. Pelaksanaannya tidak akan menyeluruh, sebaliknya dijadualkan secara fleksibel supaya tidak membebankan pekerja dan seterusnya tidak memberikan tekanan kepada bekalan tenaga, baik hari ini mahupun pada masa depan,” katanya pada sidang media di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

image is not available
Kredit: Bernama

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan Taylor’s University bagi pelaksanaan Program IbuNiaga untuk wanita B40 dalam Majlis Townhall X Raya Wanita Negeri Selangor, yang turut dihadiri Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari.

Baca juga:

Amirudin berkata cadangan awal pelaksanaan itu hanya melibatkan pentadbiran negeri namun sekiranya sektor swasta berminat, pelaksanaan itu boleh diperluaskan.

“Jika semuanya berjalan lancar, dalam tempoh dua hingga tiga minggu pelan ini dijangka siap dan kerajaan negeri akan mengumumkan tarikh pelaksanaannya,” katanya.

Semalam, beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) Bil. 5/2026, diikuti Mesyuarat Exco Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada sebelah petang, dengan menumpukan isu semasa termasuk konflik di Asia Barat serta langkah menghadapi kesan daripada krisis seperti kawalan pembekalan bahan asas dan bahan api.

Mesyuarat turut membincangkan pelaksanaan BDR di peringkat pentadbiran negeri, selaras cadangan Kerajaan Persekutuan, termasuk persediaan menghadapi musim kemarau dan cuaca panas seperti menyimpan bekalan air di empangan serta kemampanan rantaian bekalan makanan.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata kerajaan negeri sedang memperkukuh kesiapsiagaan bagi memastikan kestabilan bekalan, kelangsungan perkhidmatan serta keupayaan negeri dalam menangani sebarang ketidaktentuan yang berpotensi menjejaskan kesejahteraan rakyat.

“Setakat ini keadaan masih lagi terkawal tetapi kami tidak boleh berdiam diri kerana jika perkara itu berlarutan, kami perlu bersiap sedia.

“Esok pagi kami akan mengadakan sesi susulan manakala pada Khamis saya bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri pertemuan termasuk taklimat terkini berkenaan situasi semasa,” katanya.