Selangor sedia laksana titah Sultan Sharafuddin berkaitan isu babi, rumah ibadat - Amirudin

LocalPolitics
11 Feb 2026 • 3:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Amirudin memaklumkan, pihaknya sudah mengeluarkan kenyataan berhubung titah Sultan Sharafuddin.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan melaksanakan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak berkenan aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri ini, selain menegaskan larangan pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya sudah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu dan akan memastikan pelaksanaannya dibuat dengan sebaik mungkin.

“Saya semalam (Selasa) sudah mengeluarkan kenyataan berhubung titah Sultan Selangor.

“Kita akan laksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Usahawan Program Bazar Ramadan Selangor Tahun 2026 di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13 di sini pada Rabu.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan Sultan Sharafuddin bertitah bahawa aktiviti penternakan babi tidak wajar diteruskan di mana-mana daerah di Selangor susulan kebimbangan terhadap implikasi pencemaran alam sekitar serta boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat setempat.

Pada hari yang sama, baginda turut bertitah bahawa setiap pembangunan yang dijalankan di negeri ini perlu mematuhi undang-undang sedia ada serta amalan tadbir urus yang baik.