
SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menyiasat kemasukan babi hidup dari Sarawak melalui Pelabuhan Klang sejak Julai lalu bagi mengenal pasti destinasi sebenar ternakan itu sebelum menentukan tindakan susulan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sebahagian ternakan berkenaan hanya transit di Selangor sebelum dihantar ke negeri lain.
Menurutnya, berdasarkan laporan yang diterima menunjukan Selangor turut dijadikan pintu masuk import bagi memenuhi keperluan negeri-negeri lain.
“Sedang disiasat kerana bukan semua untuk Selangor. Ada yang untuk negeri lain. Itu setakat laporan yang diberikan kepada saya.
“Jadi, kita kena siasat dan semak semula perkara itu sebelum mengambil tindakan susulan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri membenarkan kemasukan import ternakan babi selepas beberapa lesen import diluluskan, termasuk bagi ternakan hidup dari Sarawak namun ia tertakluk kepada syarat ketat yang ditetapkan.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri, Datuk Ir Izham Hashim dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor memaklumkan lesen import sudah diluluskan termasuk bagi ternakan hidup dari Sarawak, dengan anggaran sekitar 800 ekor seminggu.
Ternakan tersebut tidak dibenarkan singgah di mana-mana lokasi dan perlu terus dihantar ke pusat sembelihan di Rawang.
Cadangan itu bagaimanapun mendapat bantahan keras termasuk dari Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dengan pengurusan dan pengendalian babi hidup secara terbuka di kawasan pelabuhan bukan sahaja mewujudkan risiko pencemaran alam sekitar, malah menyentuh sensitiviti umat Islam khususnya pekerja pelabuhan dan penduduk berhampiran.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini bertitah bahawa tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri ini.
Baginda mencadangkan agar hanya daging babi diimport bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam yang makan babi di negeri ini. – KOSMO! ONLINE
The post Selangor siasat destinasi babi hidup lalui Pelabuhan Klang appeared first on Kosmo Online.






