Selangor sumbang RM10,000 hargai pengorbanan veteran ATM

24 Sep 2022 • 10:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 24 SEPT: Kerajaan Negeri menyumbang RM10,000 kepada Badan Kebajikan Bekas Perajurit Sungai Buloh sebagai tanda penghargaan atas jasa dan bakti memelihara keamanan negara.

EXCO pembangunan modal insan berkata bantuan itu membuktikan keprihatinan pentadbiran negeri terhadap golongan terbabit selaras dasar Selangor Smart and Caring (SAC).

Mohd Khairuddin Othman mengakui nasib veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) harus dibela berikutan banyak isu tular di media sosial yang menyentuh soal kebajikan golongan berkenaan sejak akhir-akhir ini.

Dalam majlis itu Mohd Khairuddin menyerahkan cek cura kepada penasihat badan berkenaan Zainuddin Kasah sambil disaksikan Yang Dipertuanya Mejar Bersara Azmi Mohd.

image is not available
EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman bercakap kepada media selepas Majlis Menghargai Jasa Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras di Dewan Meranti, Bandar Baru Sungai Buloh, Shah Alam pada 24 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, seramai 300 ahli persatuan terbabit diraikan dalam acara yang bertujuan mengeratkan ukhuwah antara Kerajaan Negeri serta bekas perajurit.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin yang juga wakil rakyat kawasan terbabit meminta kerajaan persekutuan meneliti kemelut dihadapi veteran ATM supaya profesion ketenteraan tidak terjejas terutama dalam kalangan anak muda yang meminatinya.

Sementara itu, Azmi berkata sumbangan itu akan digunakan untuk pelaksanaan program pembangunan modal insan bertepatan dengan portfolio dipegang Mohd Khairuddin.

“Sebaliknya bantuan ini tidak digunakan untuk agih sumbangan kepada anggota memandangkan kita mempunyai dana sendiri bagi tujuan itu,” katanya.