Selangor tawar 4,178 peluang kerja kepada OKU, gaji lebih RM2,000

21 May 2025 • 7:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 21 MEI: Sebanyak 4,178 peluang pekerjaan ditawarkan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) menerusi program Karnival Jelajah Jobcare Selangor sepanjang tahun ini.

EXCO Sumber Manusia V. Papparaidu berkata tawaran pekerjaan itu membabitkan 29 majikan dengan penawaran pendapatan melebihi RM2,000 sebulan.

“Langkah ini bukan sahaja membuktikan keprihatinan sektor swasta terhadap kepelbagaian keperluan tenaga kerja, malah selari dengan dasar Kerajaan Negeri dalam memastikan tiada golongan terpinggir daripada arus pembangunan.

“Inisiatif ini jelas mencerminkan kesungguhan pelbagai pihak dalam menyediakan peluang yang adil dan saksama kepada semua lapisan masyarakat, termasuk golongan OKU,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Antara majikan yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap pengambilan pekerja OKU ialah KyoChon Sdn Bhd (OKU pembelajaran), 99 Speedmart Sdn Bhd (OKU bisu, pendengaran, pembelajaran) dan Nando’s Malaysia (OKU pendengaran, pertuturan serta pembelajaran).

Sementara itu, Papparaidu menambah program Jobcare peringkat Petaling pada Sabtu ini menawarkan sebanyak 4,260 jawatan kosong merentasi pelbagai sektor.

Menurutnya, program berkenaan melibatkan penyertaan pelbagai sektor industri antaranya kewangan, pentadbiran dan khidmat sokongan, pembuatan dan peruncitan.

Beliau berkata, program Jobcare peringkat Gombak pada bulan lalu merekodkan kehadiran 531 pencari kerja dengan seramai 259 orang berjaya ditawarkan pekerjaan dalam pelbagai sektor.

“Kerajaan Negeri menggalakkan semua pencari kerja di daerah-daerah ini untuk merebut peluang yang disediakan, selaras dengan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa modal insan di Selangor,” katanya.

Karnival Jelajah Jobcare Selangor peringkat Petaling akan diadakan di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) SS3, Petaling Jaya.

Pencari kerja boleh mendaftar melalui pautan berikut https://bit.ly/jobcarepetaling.

Selepas ini, Jelajah Jobcare Selangor akan diteruskan di tujuh lagi daerah, iaitu Kuala Langat (21 Jun – Dewan Sri Jugra), Hulu Selangor (5 Julai – Dewan Merdeka KKB), dan Hulu Langat (19 Julai – Dewan Perbandaran MPAJ).

Program berkenaan akan diteruskan di Klang (27 September – Dewan Hamzah), Kuala Selangor (9 Ogos – Dewan MPKS Puncak Alam), Sabak Bernam (11 Oktober – Dewan Tun Razak), dan daerah terakhir Sepang (15 November – Dewan Komuniti BBST).