
OLEH DIANA ABD WAHAB
KUALA LUMPUR, 16 FEB: Kerajaan Negeri memperkenalkan penyediaan rumah satu bilik (solo) dalam kawasan bandar untuk golongan bujang menerusi Dasar Perumahan Rumah Selangorku 3.0.
EXCO perumahan berkata Selangor menyediakan unit kediaman satu bilik berkeluasan 450 kaki persegi dengan harga jualan maksimum RM114,750 bagi golongan itu.
Rodziah Ismail berkata inisiatif itu adalah antara penambahbaikan yang diambil bagi memastikan golongan sasar dapat membeli kediaman mampu milik.
“Ini adalah usaha kerajaan penuhi permintaan majoriti pemohon yang berusia bawah 30 tahun yang rata-rata masih bujang dan baharu dalam dunia pekerjaan.
“Berdasarkan statistik 55 peratus pemohon berusia 29 tahun ke bawah, bagi usia 30 hingga 49 tahun sebanyak 44 peratus dan hanya satu peratus babitkan golongan berusi 50 tahun ke atas.
“Penyediaan rumah satu bilik ini telah dilaksanakan di negara maju seperti Singapura dan United Kingdom di mana is realistik dibangunkan di kawasan berkepadatan tinggi,” katanya pada sidang media di Hotel Pullman Bangsar, hari ini.
Rodziah berkata Rumah Selangorku 3.0 mensyaratkan kediaman dibangunkan di kawasan pembangunan berorientasikan transit (TOD), pembangunan bersebelahan transit (TAD) atau kawasan pusat perniagaan (CBD).
Jelasnya menerusi perbincangan yang mengambil masa hampir dua tahun Kerajaan Negeri juga menetapkan kediaman terbabit dibangunkan dalam kawasan majlis bandaraya seperti Shah Alam, Subang Jaya dan Petaling Jaya.
Beliau berkata selain kediaman satu bilik Rumah Selangorku 3.0 turut menawarkan kediaman dua bilik (duo), tiga bilik (trio), empat bilik (quad) dan bertanah dengan harga jualan maksimum antara RM153,000 hingga RM250,000.
The post Selangor tawar kediaman mampu milik khusus untuk golongan bujang appeared first on Selangorkini.



