SHAH ALAM, 27 JAN: Selangor tekad menampilkan identiti terbaik terutama dari aspek kebersihan dan prasarana sempena pelantikan Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2025.
Dato’ Menteri Besar berkata insiatif berkenaan penting memandangkan pintu masuk utama negara untuk menyambut pewakilan asing terletaknya di Selangor
Justeru Dato’ Seri Amirudin Shari meminta agensi kerajaan antaranya pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran memainkan peranan bagi memastikan kemudahan dalam keadaan baik.

“Ada banyak mesyuarat di pelbagai peringkat. Di Selangor ada beberapa mesyuarat diaturkan. Selangor juga adalah laluan pertama (delegasi luar negara) menjejakkan kaki iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.
“Kalau tidak mereka akan masuk ikut Subang (Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang), kalau tidak di Pelabuhan Klang. Maknanya kita jadi sudut pandangan pertama. Kita kena pastikan kebersihan,kemudahan dalam keadaan baik.
“Selain tetamu dan pelancong yang kita jemput datang. Kita juga ada tetamu kehormat pelbagai negara. Ada presiden, perdana menteri, menteri, ketua jabatan,” katanya berucap ketika majlis amanat Tahun Baharu 2025 di sini hari ini.

Tahun ini Malaysia menjadi tuan rumah kepada Asean buat kali ke lima selepas pernah memikul tanggungjawab sama pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.
Perhimpunan akan menyaksikan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) iaitu Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), buat julung kalinya menyertai Sidang Kemuncak GCC ASEAN + China.
The post Selangor tekad tampil identiti terbaik, jaga imej negara sempena Asean 2025 appeared first on Selangorkini.


