
Kız Kulesi, atau Menara Maiden, sebuah struktur ikonik di Istanbul, kini bersedia menerima kehadiran pengunjung selepas melalui proses baik pulih yang dimulai oleh Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Turkiye pada tahun 2021. Kini, menara yang terletak di Selat Bosporus ini berfungsi sebagai monumen muzium.
Menara Maiden mula dibangunkan pada abad ke-5 SM di pulau kecil kira-kira 20 meter dari pantai Uskudar sebagai pos pemeriksaan dan pengumpulan cukai untuk mengatur kapal-kapal yang melalui Selat Bosporus.
Bagaimanapun, pada abad ke-12, Maharaja Rom Timur, Manuel Komnenos memerintahkan pembangunan struktur pertahanan di pulau kecil ini. Sebuah rantai besi yang direntang dari menara ini ke menara lain di ‘Historical Peninsula’ bagi mengawasi proses keluar dan masuk ke Selat Bosporus.
Setelah penaklukan Istanbul pada tahun 1453 oleh Sultan Mehmed II, sebuah menara kayu dibangunkan di sini dan berfungsi sebagai menara pengawasan, rumah api, dan lokasi kuarantin untuk beberapa abad lamanya.
Seterusnya, apabila memasuki era republik, menara itu diserahkan kepada Kementerian Pertahanan Turki pada tahun 1964 dan kemudian kepada Perusahaan Maritim Turkiye pada tahun 1983. Ketika itu ia berfungsi sebagai stesen radar dan gudang, dan kemudiannya berfungsi untuk seketika sebagai restoran yang hanya boleh diakses melalui bot dari pantai Uskudar.

Seperti kebanyakkan bangunan bersejarah lain, menara yang terletak di tengah-tengah Bosporus ini juga tidak sunyi daripada beberapa kisah legenda yang menambah kemasyhurannya.
Legenda pertama menceritakan kisah seorang raja dan puterinya. Selepas seorang peramal meramalkan bahawa puterinya akan mati akibat dipatuk ular, raja membina sebuah menara untuk melindungi anak perempuannya. Bagaimanapun, puteri itu tidak dapat mengelak nasibnya dan akhirnya dan dipatuk ular yang memasuki istana dalam bakul buah-buahan.
Legenda lain pula berkait tentang kisah cinta yang menyedihkan yang diceritakan oleh Ovidius - Hero adalah salah seorang pendeta wanita Aphrodite yang tinggal di menara itu. Suatu hari dia meninggalkan menara untuk menghadiri upacara di kuil di mana dia bertemu Leandros dan mereka jatuh cinta antara satu sama lain.
Leandros berenang ke menara setiap malam untuk melawat kekasihnya, sementara itu dia memegang obor untuk membimbingnya ketika berada di dalam air untuk ke menara.
Tetapi pada satu malam yang dilanda ribut, Leandros tidak dapat melihat cahaya kerana obor yang dibawanya terpadam oleh tiupan angin. Dia berenang sepanjang malam dek terlepas arah sehingga dia lemas. Hero, melihat kekasihnya mati, dia juga terjun ke dalam air dan membunuh diri.

Sebagai salah satu mercu tanda ikonik di Istanbul, Menara Maiden memerlukan pemeliharaan yang berkala kerana lokasinya di tengah laut dan keadaan cuaca turut mempengaruhi. Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Turki memulai projek baik pulih yang dinamakan sebagai ‘Menara Maiden Membuka Mata Kembali’ pada tahun 2021.
Projek ini dilakukan di bawah pengawasan kementerian dan dengan konsultasi daripada kumpulan profesional, termasuklah Profesor Zeynep Ahunbay dan Han Tümertekin. Sebagai bahagian dari restorasi terbaru, semua penambahan konkrit telah dibuang dari struktur utama menara yang tidak ada dalam dokumen sejarahnya.
Selain itu, menara dan pulau tempatnya berdiri telah disokong dengan tiang dan isolator seismik. Bumbung di halaman menara telah dihapus dan digantikan dengan bumbung kayu yang disiapkan sesuai dengan bentuk aslinya. Halaman dan lantai di luar juga telah dipulihkan dengan bahan asli yang tercatat dalam sejarah.
Penduduk tempatan dan pengunjung Istanbul selalu memandang struktur yang anggun ini dari berbagai lokasi di kota. Jika anda salah seorang pencinta sejarah dan ingin menyaksikan sendiri keindahan ikon pujaan rakyat Turkiye ini, bolehlah rancang perjalanan ke sini.
Tarikan ini dibuka pada setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 6.45 petang. Tiket bot dijual pada harga 20 Lira untuk dewasa. - Getaran, 10 Jun 2023
