Selepas berat badan turun, baru orang tawarkan watak heroin – Qistina Khaled

EntertainmentHealth & Fitness
20 Aug 2026 • 11:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Selepas berat badan turun, baru orang tawarkan watak heroin – Qistina Khaled

KUALA LUMPUR: Pelakon, Qistina Khaled menganggap inisiatif dirinya mengamalkan diet secara ekstrem demi mendapatkan bentuk badan yang ideal adalah berbaloi selepas berjaya ditawarkan watak sebagai heroin.

Menurut Qistina, asbab usaha kerasnya itu juga, dia berjaya menjadi teraju utama sebuah drama, Tertulis Kita Sampai Syurga gandingan bersama pelakon lelaki idamannya, Shukri Yahaya.

“Saya memang diet dengan sangat ketat. Pada satu tahap, saya benar-benar mengikat perut dan hampir tidak makan. Saya berjaya turunkan 20 kilogram (kg). Sebelum ini berat saya 65kg, sekarang sudah 45kg.

“Selepas berat badan saya turun, barulah orang mula menawarkan watak heroin. Jadi, bagi saya memang berbaloi. Shukri Yahaya memang salah seorang dalam pelakon idaman yang saya mahu bekerjasama.

“Saya memang tidak pernah terlepas menonton drama lakonannya dan sangat sukakan cara dia berlakon. Apabila diberitahu hero saya ialah Shukri Yahaya, saya memang terkejut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kata Qistina, dia mula nekad menurunkan berat badan selepas melalui satu fasa sepi tanpa tawaran kerja, selain sering menerima teguran mengenai bentuk tubuh setiap kali berada di lokasi penggambaran.

“Saya pernah melalui satu tempoh apabila sebulan langsung tiada kerja. Saya seorang yang sangat suka bekerja, jadi apabila keadaan tiba-tiba sunyi, saya mula tertanya-tanya kenapa ketika itu tiada tawaran.

“Saya juga pernah bertanya kepada diri sendiri, kenapa selepas enam tahun berada dalam industri, saya masih di tempat yang sama sedangkan ada kawan-kawan lain yang tiba-tiba muncul, meletup dan terus menjadi heroin.

“Apabila saya fikir semula, hampir setiap kali berada di set, tidak kira produser, kru atau pengarah, mesti ada yang menegur mengenai badan saya. Mereka kata saya agak gempal dan sebagainya.

“Dulu saya tidak peduli, tetapi apabila difikirkan semula, mungkin itu salah satu sebab saya sukar mendapat peluang tertentu,” katanya.

Bagaimanapun, pelakon berusia 22 tahun itu tidak menafikan kaedah diet ekstrem yang dilakukannya meninggalkan kesan terhadap kesihatan, termasuk masalah gastrik dan kekurangan tenaga.

“Saya pernah sampai ke tahap membeli satu bahagian ayam goreng dan makan itu sahaja sepanjang hari. Kalau lapar, saya cubit sedikit demi sedikit. Pengambilan air pun ketika itu sangat kurang.

“Akibatnya, saya mengalami gastrik dan sampai sekarang masih ada kesannya. Cara itu memang tidak sihat. Jangan ikut cara saya. Saya ketika itu rasa terpaksa kerana beranggapan kalau saya tidak buat, orang tidak mahu memberikan saya kerja,” jelasnya.

Mengakui sering menerima tuduhan kononnya menjalani prosedur tertentu untuk mendapatkan bentuk tubuh ideal, dia memilih untuk tidak terlalu memikirkan tanggapan tersebut kerana hanya dirinya mengetahui cabaran sebenar yang dilalui.

“Memang ramai yang syak saya buat macam-macam sebagai jalan pintas. Ada yang tanya sama ada saya ambil suntikan atau sebagainya. Kalau mereka mahu percaya saya buat begitu, percayalah.

“Saya tahu apa yang saya lakukan dan hanya saya tahu betapa susahnya serta cabaran yang dilalui untuk sampai ke tahap ini. Kalau orang mahu bercakap, cakaplah. Saya tidak kisah,” ujarnya.

Selain Qistina dan Shukri, drama yang bakal ditayangkan di Slot Akasia TV3 itu turut dibintangi Ramona Zamzam.

The post Selepas berat badan turun, baru orang tawarkan watak heroin – Qistina Khaled appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved