Selepas Flat Pandan Mewah, Pangsapuri PKNS Taman Dagang pula digempur

LocalPolitics
6 Dec 2024 • 7:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Antara warga asing yang ditahan JIM dalam serbuan di Pangsapuri PKNS Taman Dagang, Ampang pada Jumaat. (Gambar kecil: Zakaria) Foto: Jabatan Imigresen Malaysia

image is not available
Tindakan seorang wanita warga asing menyorok di bumbung rumah berjaya dikesan JIM dalam serbuan di Pangsapuri PKNS Taman Dagang, Ampang pada Jumaat.

image is not available
PATI yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Nepal dan Pakistan. Foto: Jabatan Imigresen Malaysia

AMPANG - Pangsapuri PKNS Taman Dagang di sini, yang menjadi lubuk penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) digempur pada Jumaat.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan bermula jam 12.30 tengah malam dijalankan sepasukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Seramai 189 individu diperiksa dan hasilnya 93 PATI berusia empat bulan hingga 55 tahun ditahan.

"PATI yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Nepal dan Pakistan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, tindakan diambil susulan aduan awam mengenai PATI yang disyaki tinggal di kawasan perumahan tersebut.

Katanya, semasa serbuan terdapat warga asing cuba melarikan diri.

"Kesemua yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," ujarnya.

Tegasnya, JIM akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan imigresen.

Pada 26 November lalu, JIM Selangor dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menggempur lubuk penempatan PATI di Flat Pandan Mewah, Ampang.

Operasi itu menahan 119 warga asing berusia 18 tahun hingga 50 tahun terdiri warga Myanmar, Indonesia, Bangladesh, Nepal dan India.