Selepas PADU, MyDigital ID akan buka pendaftaran awam pada Mei 2024

4 Apr 2024 • 6:19 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Selain Pangkalan Data Utama (PADU), satu lagi perkara yang bakal dilaksanakan kerajaan Malaysia untuk rakyat adalah MyDigital ID. Ia adalah sistem pengenalan diri yang sah dan selamat untuk kegunaan dalam talian. Walaupun ada yang menggelarnya sebagai MyKad digital, ia sebenarnya tidak menggantikan MyKad atau mana-mana pengenalan diri.

Pada awal perancangan, MyDigital ID mahu membuka pendaftaran kepada orang ramai mulai bulan Mac. Tetapi pendaftaran orang ramai terpaksa ditangguhkan bagi memastikan kelancaran sistem di pelbagai portal dan platform, serta aplikasi mudah alih.

image is not available
Pemangku CEO My Digital ID Sdn Bhd, Mohd Mirza Mohamed Noor

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) My Digital ID Sdn Bhd, Mohd Mirza Mohamed Noor menjelaskan, pendaftaran terbuka MyDigital ID ditangguhkan ke bulan Mei. Buat masa ini, daftar masuk MyDigital ID telah dintegrasikan ke dalam perkhidmatan seperti MySejahtera, the MyGov Portal, dan HRMIS. Integrasi ke dalam PADU disasarkan pada bulan ini, manakala MyJPJ selepas itu.

Selain portal kerajaan, MyDigital ID juga boleh digunakan sebagai daftar masuk untuk perkhidmatan kewangan seperti perbankan, insuran, serta eWallet. MyDigital ID akan menjadi penyelesaian eKYC (kenali pelanggan elektronik) serta pengesahan transaksi.

Mendaftar MyDigital ID

Aplikasi MyDigital ID sudah tersedia untuk dimuat turun di Apple Appstore dan Google Playstore. Tetapi ia tidak boleh digunakan selagi belum berdaftar secara rasmi.

image is not available
Mendaftar MyDigital ID menerusi kaunter bergerak

Untuk mendaftar MyDigital ID kelak, terdapat dua cara iaitu pergi ke kiosk layan diri atau bertemu dengan pegawai dan mendaftar menerusi tablet. Di situ, pengguna perlu membuat pengesahan menggunakan kad pengenalan dan mengimbas capjari, dan akan diberikan kod QR pengesahan. Imbas kod QR ini menggunakan aplikasi MyDigital ID di dalam telefon pintar dan masukkan kata laluan untuk digunakan di masa akan datang. Setelah selesai, anda sedia menggunakan MyDigital ID sebagai cara daftar masuk atas talian.

MyDigital ID tidak menyimpan data peribadi

Ada banyak persoalan yang sering timbul tentang MyDigital ID. Paling besar adalah tentang keselamatan data peribadi. Orang ramai perlu tahu, MyDigital ID tidak menyimpan sebarang data peribadi pengguna, sebaliknya ia hanya menjadi kunci untuk mengambil data dari pangkalan data penyedia perkhidmatan. Malah, Digital ID tidak menyimpan sebarang data di dalam peranti, melainkan maklumat pengesahan diri.

Selepas adanya MyDigital ID, tidak perlu lagi bersusah payah mengingati kata laluan di portal berbeza. Hanya daftar masuk menggunakan MyDigital ID sahaja.

Sementara menantikan pendaftaran awam, anda boleh melayari laman web MyDigital ID untuk mengetahui dan mengenali dengan lebih lanjut tentang MyDigital ID.