Selepas Puluhan Tahun, Thailand Sedia Guna Teknologi Tenaga Nuklear
Thailand dijangka mula menggunakan teknologi tenaga nuklear menerusi pemasangan reaktor modular kecil (SMR) dalam beberapa tahun akan datang.
Memetik laporan Bangkok Post, syarikat korporat menunjukkan minat mendalam untuk menggunakan teknologi itu bagi memastikan bekalan kuasa yang stabil. Mereka juga menyokong rancangan kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.
Seorang eksekutif elektrik sektor swasta yang enggan namanya disiarkan berkata antara syarikat yang dilihat sebagai penyokong utama SMR ialah Ratch Group, Global Power Synergy Plc dan Saha Pathanapibul International Plc.
Minat mereka terhadap tenaga nuklear adalah selaras dengan rancangan kerajaan untuk mendesak pemasangan SMR.
Malah, Global Power Synergy baru-baru ini mengumumkan bahawa ia sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan sebagai tindak balas kepada permintaan tenaga yang semakin meningkat dan keinginan untuk mencapai matlamat penyahkarbonan.
“Kami mahu mendidik orang ramai mengenai SMR sebelum rancangan pembangunan kuasa (PDP) dikuatkuasakan,” kata eksekutif terbabit.
Di bawah PDP, dua SMR akan dibangunkan dengan kapasiti 300MW dan akan memulakan operasi menjelang akhir rancangan itu. Ia dijadualkan dilaksanakan dari 2024 hingga 2037.
Pihak Berkuasa Penjanaan Elektrik Thailand (Egat) dikatakan akan mengendalikan SMR terbabit.
Ini bukan kali pertama Thailand menunjukkan minat terhadap teknologi nuklear. Usaha awal bermula pada tahun 1970-an, dengan Egat ditetapkan untuk menjadi pemaju projek. Bagaimanapun, rancangan itu telah dibatalkan berikutan penemuan gas asli di Teluk Thailand pada awal 1980-an.
Pihak berkuasa memasukkan tenaga nuklear dalam PDP 2010, dengan projek berkapasiti 2,000 MW ditetapkan untuk memulakan operasi pada 2020 atau 2021.
Tetapi ia dialih keluar daripada PDP pada 2011 berikutan keruntuhan reaktor nuklear yang disebabkan oleh tsunami di Fukushima, Jepun.
SMR ialah satu bentuk teknologi tenaga nuklear dengan kapasiti sehingga 300 megawatt seunit. Menurut Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, ia merupakan kira-kira satu pertiga daripada kapasiti penjanaan reaktor kuasa nuklear tradisional yang lebih besar.
Pakar tenaga nuklear berkata SMR direka untuk lebih selamat dan menangani kebimbangan alam sekitar.
Ia menggunakan peredaran semula jadi dan sistem dipacu graviti untuk mengeluarkan haba. Ini sekaligus membolehkan SMR mengelak dari kesan kerosakan akibat gangguan bekalan elektrik yang boleh menyebabkan sistem penyejukan berkuasa elektrik tidak berfungsi dengan baik.
Sesetengah SMR juga sedang dibangunkan untuk menggunakan bahan api daripada bahan api nuklear yang diproses semula. Ia sekali gus mengurangkan kebimbangan mengenai pengurusan sisa nuklear.
Sumber: Bangkok Post
The post Selepas Puluhan Tahun, Thailand Sedia Guna Teknologi Tenaga Nuklear appeared first on Siakap Keli.




