Selepas Selangor Haramkan Iklan, Pulau Pinang Pula Pertimbangkan Larangan Jual Vape

LocalHealth & Fitness
21 May 2025 • 6:26 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Semalam (20 Mei) pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor telah diarah untuk menyita mana-mana iklan memaparkan vape atau rokok elektronik di seluruh negeri berkenaan.

Perkara itu dilakukan kerana ia memberi ancaman penggunaan rokok elektronik yang dilihat semakin merisaukan terutama kepada golongan anak muda.

“Kerjaan memutuskan supaya semua PBT di Selangor mengambil tindakan segera untuk merampas dan menyita sebarang iklan berkaitan produk vape di mana-mana medium pengiklanan, sama ada fizikal mahupun digital.

“Tindakan ini selaras peruntukan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 (Akta 852), yang secara jelas melarang sebarang bentuk pengiklanan, promosi dan penajaan berkaitan produk merokok elektronik,” jelasnya, lapor Berita Harian.

Pulau Pinang pertimbang larang jual vape

Terbaharu, selepas arahan yang dikeluarkan oleh Selangor kini kerajaan Pulau Pinang turut bersedia untuk mempertimbangkan larangan penjualan vape di negeri berkenaan.

Jelas EXCO Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi pihak kerajaan negeri terbabit menyokong larangan bagi penggunaan rokok elektronik tersebut terutama di kalangan anak muda selain tidak menggalakkan penjualan produk berkenaan selaras usaha melindungi kesihatan awam.

“Sememangnya mekanisme bagi mengawal selia bekalan rokok elektronik atau vape ini sudah diperkenalkan melalui Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] dan kini kita dalam fasa pendaftaran bagi produk-produk elektronik ini dan akan mula menjalankan penguatkuasaan menjelang 1 Oktober 2025.

“Saya turut memberi komitmen sekiranya selepas penguatkuasaan Akta 852 dalam mengawal selia rokok elektronik tidak membawa kesan positif, kerajaan negeri sedia mempertimbangkan pelaksanaan larangan penjualan vape,” jelasnya, lapor Berita Harian.

Beliau dalam masa turut berpandangan kaedah penguatkuasaan mengikut akta terbabit perlu ditangani dengan strategik untuk memastikan isu pasaran gelap serta penyeludupan tidak menjadi masalah di kemudian.

Kerajaan negeri turut jalankan kerjasama dengan pihak penguatkuasaan

Berhubung kerisauan penggunan bahan terlarang seperti ketum serta ‘vape mushroom’, Gooi mengatakan kerjasama dengan penguatkuasaan bersepadu seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), polis termasuk agensi lain giat dilakukan.

Malah turut membuat operasi membanteras kawasan atau ‘port’ penagihan seperti Ujung Batu, Butterworth.

Selain itu, AADK juga mewujudkan sebanyak enam Anjung Komuniti dengan mendapat kerjasama dan sokongan daripada kerajaan negeri dengan bermacam-macam kempen untuk kesedaran awam selain menggunakan pelbagai platform termasuklah menerusi media elektronik, cetak, sosial serta secara berdepan (bersemuka).

“Kerajaan Pulau Pinang sentiasa memberikan sokongan padu terhadap segala aktiviti dan program Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) contohnya Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD).

“Pulau Pinang adalah negeri pertama yang memperkenalkan pelaksanaan Pensijilan Program TEKAD Sektor Awam mulai tahun 2022 dengan setakat Mei ini sebanyak 26 jabatan telah melaksanakan TEKAD melibatkan seramai 2,290 pegawai.”

Source: