Selepas ‘Terkurung’ Akibat PKP, Penduduk Kampung Nelayan Gembira Sambut Tahun Arnab

20 Jan 2023 • 9:43 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Koh setia menunggu anak-anaknya pulang untuk sambutan Tahun Baharu Cina. - Gambar oleh Ikhwan Zulkaflee

PONTIAN - Kesempatan menyambut Tahun Baharu Cina bersama seisi keluarga umpama ‘impian menjadi kenyataan’ kepada seorang ibu dua anak, Koh Lee, yang menunggu mereka pulang ke tanah air untuk meraikan hari istimewa itu bersama-sama.

Seperti kebanyakan masyarakat Cina lain yang tinggal di kawasan terpencil Kampung Kukup Laut, keluarganya tidak membuat sambutan perayaan meriah sejak dua tahun lalu, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19.

“Sudah tentu, kami masih menyambut Tahun Baharu (Cina) semasa tempoh PKP, tetapi sambutan kali ini agak istimewa kerana kami akan dapat berkumpul bersama seluruh keluarga yang pulang buat kali pertama ketika perayaan ini nanti,” kata penjaga sekolah itu apabila ditemui The Vibes di rumahnya pada Selasa lalu.

Meskipun cuaca terik, Koh tetap tersenyum ketika melakukan kerja persediaan untuk menyambut hari penting itu. 

Katanya, persekitaran perkampungan nelayan kecil berkenaan yang kebiasaannya lengang akan bertukar meriah hujung minggu ini, apabila anak penduduk di situ pulang bersama keluarga masing-masing.

Pengembara dan pelancong juga akan datang ke pekan berkenaan pada hujung minggu ini sempena perayaan itu, dengan pengusaha homestay memaklumkan bahawa kebanyakannya sudah menempah penginapan dan harganya mencecah sehingga RM200 bagi setiap kepala untuk dua malam.

Seorang daripada mereka adalah Ang Yem, 50, yang gembira kerana kampung itu kembali dipenuhi pengunjung dari dekat dan jauh, dengan terdiri daripada mereka ke situ untuk menziarahi saudara-mara atau datang bersama keluarga bagi meraikan Tahun Baharu Cina.

image is not available
Ang Yem (kiri) dan Sky Ser gembira kerana homestay yang mereka kendalikan di kampung itu telah ditempah sepenuhnya untuk sambutan Tahun Baru Cina hujung minggu ini. - Gambar oleh Ikhwan Zulkaflee

“Sudah agak lama penginapan kami tidak ditempah sepenuhnya.

“Sukar bagi kami semasa PKP, apabila tiada pengunjung dan tiada apa-apa boleh dilakukan untuk mencari rezeki di sini,” kata Ang yang rancak berbual bersama jiran dan rakan pengendali homestay, Sky Ser ketika dihampiri The Vibes sambil mengimbau bagaimana dia terpaksa berniaga ikan di pasar untuk memastikan keluarganya mempunyai makanan di atas meja ketika itu.

Sementara itu, Ang Kok Haw, 20, menantikan kepulangan bekas rakan sekolahnya di kampung itu hujung minggu ini.

Katanya, ketika rakannya itu bekerja sebagai pembantu dapur di sebuah kafe yang beroperasi di pintu masuk perkampungan nelayan berkenaan, dia diterima menyambung pengajian ke universiti tempatan.

image is not available
Kok Haw tidak sabar untuk bertemu semula dengan bekas rakan sekolahnya yang meninggalkan bandar untuk bekerja atau melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi. - Gambar oleh Ikhwan Zulkaflee

“Kebanyakan rakan saya melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi, ada di Kuala Lumpur dan Selangor, malah ada ke luar negara.

“Saya gembira untuk melihat dan bertemu mereka,” katanya. - The Vibes, 20 Januari 2023