Selesai proses permohonan kewarganegaraan mereka: MP

29 Mar 2023 • 12:59 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

SANDAKAN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa untuk menyelesaikan proses permohonan kewarganegaraan bagi kanak-kanak tanpa kerakyatan di Sabah.

Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir turut meminta KDN menyelesaikan isu penduduk Malaysia yang sudah bermastautin di negara ini tetapi permohonan mereka masih belum mendapat kelulusan taraf kewarganegaraan.

Suhaimi membangkitkan isu taraf kewarganegaraan berkenaan kerana perkara itu turut berlaku di beberapa tempat di kawasan parlimennya termasuk Kampung Pulau Nunuyan, Kampung Pulau Libaran, dan Kampung Semawang.

“Punca utama permasalahan ini adalah terdapat sebilangan pasangan ibu atau bapa yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara.

“Apabila pasangan ibu atau bapa ini berpisah, anak-anak mereka hanya memiliki surat beranak sahaja.

“Lebih memburukkan keadaan lagi apabila anak-anak ini sudah dewasa mereka tidak dapat membuat kad pengenalan kerana mereka tiada rekod rawatan di klinik kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat, Isnin lalu.

Suhaimi menjelaskan antara sebab anak-anak ini tidak mendapat rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan adalah kerana jarak rumah mereka yang jauh dan memerlukan kos tinggi untuk pergi mendapatkan rawatan.

“Lebih menyedihkan lagi, apabila kad pengenalan ini tidak dapat dibuat anak-anak ini sukar untuk melanjutkan pelajaran di sekolah. Mereka terpaksa membayar yuran yang mahal sekiranya mahu meneruskan persekolahan,” katanya.

Selain itu, Suhaimi menyambut baik peningkatan peruntukan pendaftaran negara dari RM363.9 juta pada 2022 kepada RM387.8 juta bagi 2023.

Justeru , beliau mahu kementerian mengatasi segera dua isu tersebut kerana perkara ini telah berlanjutan sekian lama.

Dalam masa sama, Suhaimi turut membangkitkan isu bekalan air di pangsapuri PDRM Sandakan di Batu 4, Sandakan.

“Maklumat yang saya perolehi mengenai isu ini adalah, sistem perpaipan di perumahan ini telah berkarat. Sekiranya air ini digunakan untuk minum ia sangat tidak baik untuk kesihatan,” katanya.

Suhaimi mahu perkara tersebut diberi perhatian sewajarnya oleh pihak kementerian kerana ia boleh menjejaskan keselamatan dan kesihatan anggota polis yang menetap di situ.

Beliau turut bertanya, daripada peruntukan RM44.8 juta bagi 2023 ini, berapa jumlah yang diperuntukkan bagi menyelesaikan isu sistem perpaipan di kawasan perumahan polis ini, serta adakah terdapat sebarang jaminan bahawa isu ini akan diselesaikan segera.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.