AYER KEROH - Kerajaan akan terus membongkar pelbagai kepincangan tadbir urus yang didakwa berlaku termasuk di Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihak berkuasa akan menjalankan siasatan secara profesional sebelum tindakan lanjut diambil.
“Ke bawah Duli Yang Mulia Yang di-Pertuan Agong, minggu lalu, maklum pada saya, Perdana Menteri jangan berakhir dengan TH saja... teruskan...
"Tuanku tanya siapa jaga Felda sekarang? Saya kata saya. Maka selesai TH, bongkar Felda," katanya dalam ucapan dasar Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini pada Sabtu.
Bagaimanapun Presiden PKR itu berkata, hukuman tidak boleh diambil terhadap mana-mana pihak sebelum ia dapat dipastikan.
Ujarnya, beliau bertanggungjawab memastikan supaya apa saja salah laku dalam tadbir urus diambil tindakan segera tanpa ada kompromi.
“Bukan hukum sebelum ada kepastian. Jangan terus tuding jari, biar badan penguat kuasa siasat secara profesional.
“Tapi sebagai orang bertanggungjawab, saya boleh katakan jangan berlengah, jangan bertolak ansur, parti mana, jawatan apa, kaum apa, salah menyakau, tangkap,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menjawab dakwaan sesetengah pihak yang menyifatkan tindakan tegas kerajaan sebagai didorong dendam atau kerana terdesak.
“Ada orang, kononnya kalangan elit yang pintar katakan Perdana Menteri sekarang terdesak dan nampak dendam ambil tindakan.
“Saudara, 1MDB punya tindakan... lama sebelum saya dan beberapa tindakan kes besar lain juga diteruskan,” katanya.
Namun, ujarnya, walau apa sahaja tuduhan yang dilemparkan ke atasnya, tindakan lebih tegas akan dilakukan bermula daripada sekarang.
“Kata mereka, kalau ambil tindakan dendam dan tidak ambil tindakan kompromi dan lembap.
“Kamu bicaralah apa-apa pun, saya nak jawab menyatakan bahawa proses tindakan lebih tegas bermula sekarang,” katanya.




