'Selesailah peringkat Bersatu' - Marzuki

LocalPolitics
13 Jan 2026 • 10:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Marzuki

SHAH ALAM – Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hasan dijangka akan memanggil Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi (MT) gabungan itu dalam masa terdekat.

Bekas Ketua Setiausaha Politik kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, mesyuarat itu bagi memutuskan pelantikan pengerusi baharu selaras dengan surat yang dikeluarkan oleh Presiden Pas baru-baru ini.

"Alhamdulillah. Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu telah membuat ketetapan menghormati keputusan Tan Sri Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN.

"Selesailah di peringkat Bersatu," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang menggesa agar gabungan itu mengadakan mesyuarat tergempar MT bagi menerima dan mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN serta melantik pengerusi baharu.

Ahli Parlimen Marang itu menegaskan bahawa panggilan mesyuarat tergempar tersebut adalah selaras dengan Fasal 8.3(l)(b) Perlembagaan PN.

Ia susulan pengumuman Muhyiddin pada 29 Disember lalu yang meletakkan jawatan sebagai Pengerusi gabungan pembangkang itu, berkuat kuasa 1 Januari.