Seleweng Dana Penyelenggaraan Sekolah Di Kudat Bernilai RM 600K, SPRM Tahan 2 Individu

26 Oct 2024 • 5:00 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

SPRM Sabah tahan 2 individu disyaki terlibat

Seleweng Dana Penyelenggaraan Sekolah Di Kudat Bernilai RM 600K, SPRM Tahan 2 Individu. Dilaporkan bahawa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah berjaya menahan dua individu yang disyaki menerima rasuah berkaitan pelantikan pembekal bahan mentah untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah di sekitar Kudat, dengan jumlah nilai sekitar RM600,000.

Menurut sumber, kedua-dua suspek iaitu seorang lelaki dan seorang wanita berusia sekitar 40-an, ditahan sekitar jam 3 petang pada hari Jumaat ketika mereka hadir untuk memberikan keterangan di Pejabat SPRM Sabah.

image is not available
Seleweng Dana Penyelenggaraan Sekolah Di Kudat Bernilai RM 600K, SPRM Tahan 2 Individu. Sumber gambar: BERNAMA

Kedua-dua suspek telah dibawa ke Mahkamah Kota Kinabalu

Dikatakan, berikutan penahanan ini, kedua-dua suspek telah dibawa ke Mahkamah Kota Kinabalu, dan perintah reman selama empat hari sehingga 30 Oktober dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Dzul Elmy Yunus.

Suspek dipercayai adalah pegawai kanan di salah satu pejabat pendidikan daerah di Sabah. Mereka disyaki menerima rasuah sepanjang tahun 2023 hingga 2024, di mana dana diterima melalui akaun bank yang didaftarkan atas nama proksi mereka.

image is not available
Gambar sekadar hiasan

Suspek juga dipercayai telah menerima rasuah

Suspek juga dipercayai telah menerima rasuah sebagai balasan untuk membantu beberapa pembekal yang dilantik melalui kaedah pembelian terus dan sebut harga bagi membekalkan bahan mentah yang diperlukan dalam projek penyelenggaraan dan pembaikan sekolah-sekolah di daerah tersebut.

Penahanan ini adalah susulan daripada tangkapan seorang pemilik perniagaan pada Jumaat lalu, yang disyaki mengemukakan dua tuntutan palsu berjumlah sekitar RM45,000.

image is not available
Sumber gambar: Berita Harian

Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy, ketika dihubungi, mengesahkan penahanan tersebut dan menyatakan bahawa kes ini disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, isu kartel penyelewengan dana sekolah di Pejabat Pendidikan Daerah Kudat didedahkan oleh Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda, dalam ucapan perbahasan dasar Belanjawan 2025 di Parlimen. Beliau turut menggesa SPRM untuk menjalankan siasatan menyeluruh ke atas isu ini.

Lagi berita terkini untuk anda di sini: