Seleweng dana RM800,000: Bekas penolong eksekutif kanan badan awam antara dua direman

LocalPolitics
19 May 2026 • 7:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Seleweng dana RM800,000: Bekas penolong eksekutif kanan badan awam antara dua direman
Dua individu direman disyaki terlibat dalam penyelewengan dana badan awam berjumlah kira-kira RM800,000.

KUALA TERENGGANU – Bekas penolong eksekutif kanan sebuah badan awam antara dua individu direman disyaki terlibat dalam penyelewengan dana badan awam berjumlah kira-kira RM800,000.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 25 Mei ini terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada pagi Selasa.

Menurut sumber, suspek terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30-an.

Katanya, mereka ditahan antara jam 12.30 tengah hari hingga 1 petang pada Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.

"SPRM Terengganu sebelum ini menahan tiga suspek terdiri daripada seorang bekas penolong eksekutif kanan pentadbiran, pemilik syarikat dan penjawat awam bagi membantu siasatan.

"Bagaimanapun hanya dua daripada mereka ditahan reman pagi ini selepas seorang lagi suspek dibebaskan kerana mengalami masalah kesihatan," katanya pada Selasa.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai bersubahat mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan dana awam tersebut pada tahun 2023 dan 2024.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Katanya, SPRM tidak menolak kemungkinan akan terdapat beberapa lagi tangkapan susulan bagi membantu siasatan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved