
KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Kempen Promosi Halal Selangor menerusi Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2023 merekodkan jualan RM55.73 juta.
EXCO Industri Halal Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata rekod itu 40 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu yang berjumlah RM37 juta.
“Rekod pencapaian ini terhasil melalui penglibatan aktif oleh HIS Toyibba dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Agama Islam Negeri.
“Harapan kami agar penglibatan di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2023 dapat mengumpul sasaran padanan perniagaan yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Pavilion Selangor sempena Mihas 2023 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) semalam.
Selain itu, Dr Mohammad Fahmi memaklumkan Selhac 2023 mencatatkan peningkatan kehadiran pengunjung sebanyak 100 peratus secara fizikal mengatasi kehadiran pada edisi tahun lalu.
“Kehadiran secara atas talian pula seramai 176, 853 peserta. Penganjuran Selhac ini mendapat sambutan baik dari 12 negara seperti Filipina, Kanada, Thailand dan Rusia,” katanya lagi.
Sebelum ini Selhac yang diadakan di Pusat Perdagangan Dunia (WTC) pada 10 hingga 12 Mac lalu menghimpunkan kira-kira 200 pemain industri halal dari seluruh pelusuk negara dan antarabangsa.
Dato’ Menteri Besar menerusi kenyataannya di majalah @Halal edisi Mac-April lalu berkata Selhac perlu ditonjolkan sebagai komponen penting dalam pelan ekonomi negeri yang lebih luas.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, ia selaras dengan matlamat Rancangan Selangor Pertama (RS-1) untuk menjadikan industri halal sebagai sektor kritikal bagi meningkatkan kedudukan Selangor sebagai pintu masuk halal antarabangsa.
The post Selhac rekod jualan RM55.73 juta, dapat sambutan baik 12 negara appeared first on Selangorkini.
