
JOHOR BAHRU - Seorang lelaki mengalami kecederaan parah selepas bertindak mengelar lehernya sendiri menggunakan pisau pemotong daging di hadapan sebuah restoran di Danga Bay, di sini, awal pagi, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 12.25 tengah malam selepas dimaklumkan oleh anggota polis bantuan yang berada di lokasi.
"Siasatan awal mendapati lelaki berusia 27 tahun itu bertindak sedemikian dipercayai akibat tekanan perasaan selepas berlaku perselisihan faham dengan isterinya.
“Mangsa dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, kejadian tersebut tular di media sosial selepas sebuah video dimuat naik oleh pemilik akaun X, Update1111, memaparkan lelaki berkenaan mengacukan pisau sebelum mengelar lehernya sendiri.
Dalam pada itu, Raub turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan video insiden itu bagi mengelakkan spekulasi serta salah faham yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Polis juga mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan fizikal dalam menyelesaikan perselisihan faham.
"Sebarang ketidakpuasan hati seharusnya diselesaikan secara aman melalui saluran yang betul.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di 07-2182323," katanya.


