Selisih faham punca kekecohan, pergaduhan sekumpulan lelaki di Balai Polis Meru

LocalPolitics
4 Mar 2026 • 5:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
VIJAYA RAO

KLANG – Perselisihan faham dipercayai menjadi punca kekecohan dan pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki tempatan di Balai Polis Meru di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, kejadian kira-kira jam 9.40 malam itu berlaku apabila tiga lelaki hadir ke balai polis berkenaan untuk membuat laporan, sebelum secara tiba-tiba didatangi lima lelaki lain.

"Situasi berkenaan mencetuskan perbalahan antara kedua-dua pihak sehingga seorang daripada kumpulan lima lelaki itu bertindak memukul pengadu menggunakan sebatang besi.

“Insiden tersebut turut menyebabkan kerosakan sebuah televisyen milik balai polis, kesemua suspek kemudian melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Vijaya Rao berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara berjaya menahan lima lelaki tempatan berusia 28 hingga 41 tahun bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 148, 427, 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967, serta Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Bahaya 1958," katanya.

Menurut beliau, semua suspek telah dibawa ke Mahkamah Klang dan diperintahkan reman selama tiga hari hingga Khamis bagi tujuan siasatan lanjut.

"Kita memandang serius insiden gangguan ketenteraman yang berlaku di balai polis, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara atau balai polis berhampiran," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved