
SEPANG, 9 MEI: Program Selangor Kitar Semula (SELKitar) yang diadakan di Meranti Residensi, di sini hari ini, membantu meningkatkan kesedaran penduduk setempat mengenai kepentingan pengurusan sisa secara lestari.
Pengerusi penduduk, Muhammad Muhaimin Abdullah berkata program anjuran KDEBWM dengan kerjasama Nestlé Malaysia itu turut menggalakkan komuniti lebih peka terhadap penjagaan alam sekitar melalui amalan pengasingan sisa.

“Bila dah asingkan barangan tak terpakai seperti televisyen, minyak, besi, plastik dan kertas, kita boleh jualkannya. Bukan sahaja dapat kemaskan rumah tetapi juga mampu hasilkan duit dengan menjual barangan ini.
“Lebih menarik, program ini turut selitkan aktiviti kesihatan dan kekeluargaan. Kita edarkan risalah berhubung kitar semula dari rumah ke rumah sekali gus menggerakkan kita bersenam serta merapatkan hubungan silaturahim,” katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, Julia Ismail, 43, berkata program dapat mendidik penduduk setempat untuk menjalankan aktiviti pengasingan barang sekali gus membolehkan kediaman menjadi lebih kemas.

“Selain info berkenaan kitar semula, penganjur juga sediakan maklumat mengenai pihak berkuasa tempatan termasuk pembayaran cukai. Ini beri maklumat tambahan memandangkan kawasan perumahan ini masih baharu,” katanya.
Selain mengumpul barangan kitar semula, dirasmikan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Dr Ani Ahmad, turut menganjurkan aktiviti berkonsep kekeluargaan seperti mewarna dan edaran risalah dari rumah ke rumah.
Terdahulu, Pengurus Pelaksana Projek KDEBWM Ammar Ehsan Omar berkata setakat ini, program SELKitar bagi memajukan amalan ekonomi pusingan itu telah melibatkan kutipan barang kitar semula di 400,000 unit rumah.
Secara purata, beliau berkata program dapat mengumpulkan kira-kira 60,000 kilogram barangan kitar semula setiap bulan, sejak dilaksanakan Mei tahun lalu.
